Thursday, May 9, 2013

WACANA NAIB CANSELOR KUIM : THE POLITICS OF CONTINUITY AND CHANGE DALAM MEMAHAMI SEJARAH DAN LEGASI NEGARA, MERENTASI ZAMAN, DULU DAN KINI……



Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM
 
WACANA NAIB CANSELOR KUIM  : THE POLITICS OF CONTINUITY AND CHANGE DALAM MEMAHAMI SEJARAH DAN LEGASI NEGARA, MERENTASI  ZAMAN, DULU DAN KINI……

Kerajaan negeri Melaka bersama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Hang Tuah bagi merungkai kewujudan dan ketokohan ikon kepahlawanan Melayu, Hang Tuah.

Inisiatif pengajuran seminar yang dipengerusikan oleh Naib Canselor KUIM, Prof Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim ini bertujuan untuk menyediakan wadah professional dan intelektual bagi para pengkaji bidang sejarah dalam dan luar negara serta ahli akademik untuk sama-sama berdiskusi dan menggali sumber sejarah tanahair bagi membuktikan kewujudan Laksamana terulung zaman Kesultanan Melayu Melaka ini.

Dewasa ini, kewujudan Hang Tuah sering dipertikaikan oleh segelintir pihak dan kesannya, timbul kekeliruan dan pertikaian sehingga mewujudkan ruang serta peluang kepada sesetengah pihak sebagai bahan pertikaian politik.

Justeru itu, inisitiaf proaktif penganjuran Seminar Antarabangsa Hang Tuah oleh kerajaan negeri Melaka bersama KUIM dan IKSEP amat bertepatan sebagai wadah intelek untuk merungkai kekeliruan dihadapi oleh pelajar, golongan akademik dan masyarakat bagi mencari bukti sahih kewujudan dan kredibiliti Hang Tuah.

Di samping itu, seminar ini turut dijadikan program tahunan sempena sambutan 750 tahun Melaka dan secara langsung seminar ini bakal menarik minat masyarakat, pelawat dan golongan belia untuk memahami dan mendalami peristiwa sejarah tanahair terutama zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut Prof Emeritus Dr. Mohd Yusoff, penganjuran Seminar Antarabangsa Hang Tuah juga sebagai lapangan efektif bukan sahaja kepada para pengkaji sejarah, malah seminar ini bakal bermanfaat kepada golongan belia dan masyarakat setempat.

Fakta sejarah merupakan elemen yang mudah dipertikaikan atas dasar ketiadaan sumber, namun sikap pengkaji yang terlalu jumud untuk menggunakan sumber rujukan dalam negara semata-mata adalah tindakan yang bertentangan dalam amalan pengkaji akademik.

Justeru itu, usaha menggali fakta sejarah seharusnya lebih meluas dengan penggunaan sumber-sumber sahih dari dalam dan luar negara melalui dapatan kajian oleh pengkaji terdahulu sebelum sesuatu dapatan kajian didedahkan secara umum.

Prof Emeritus Dr. Mohd Yusoff berpendapat, setiap usaha untuk menidakkan fakta sejarah tanahair perlu diperhalusi sebelum keputusan untuk mendedahkan dapatan kajian tersebut secara  umum dilakukan kerana kesan penidakkan fakta sejarah bakal diterima bukan sahaja kepada bidang pendidikan, malah bidang sosial, politik dan ketenteraman negara.

Usaha untuk mendokumentasi sumber sahih terhadap kewujudan Hang Tuah turut dilakukan oleh penganjur seminar dengan mengundang tokoh-tokoh sejarawan dan golongan akademik dalam serta luar negara untuk turut serta menyumbang sumber dan idea kepada seminar ini bagi membuka mata sesetengah pihak yang cuba untuk mempolitikkan fakta sejarah sebagai peluang mewujudkan kekeliruan rakyat.

Resolusi seminar

1.     Hang Tuah adalah insan yang wujud dalam sejarah dan merupakan satu fakta sejarah.
2.  Hang Tuah adalah insan sejarah dan telah memainkan peranan besar dalam membina kerajaan dan kesultanan Melaka sepanjang abad ke-15, selain pembesar-pembesar utama seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggong dan lain-lain.
3.  Hang Tuah adalah tokoh sejarah pertama yang memegang jawatan Laksamana dalam institusi pembesar melayu dan nama jawatan ini kekal hingga sekarang di sandang oleh Panglima Angkatan Laut Diraja Malaysia.
4.    Sebagai insan dan tokoh sejarah, peranan Hang Tuah wajib dimasukkan ke dalam sukatan mata pelajaran sejarah sekolah-sekolah dalam bab mengenali Kesultanan Melaka dalam sejarah Malaysia.
5.   Ketokohan dan ikon Hang Tuah harus dibezakan di antara  ketokohan dan ikonnya dalam bidang sejarah Malaysia dan Ketokohan serta ikonnya dalam aspek kreativiti seni dan kesusasteraan serta persuratan Malaysia.
6.   Menyokong penuh kerajaan melaka dalam sebarang usaha untuk menginstitusikan Hang Tuah dalam bidang-bidang ketokohan dan wirabangsa, sejarah negara, pendidikan, agama, produk warisan negeri yang ketara dan tidak ketara, dokumentasi perpustakaan dan muzium, semangat patriotisme dan cinta serta setia-negara.
7.  Seminar mencadangkan kerajaan Melaka melalui IKSEP, PERZIM dan KUIM melanjutkan lagi kajian mengenai Hang Tuah dari segi sumber seluruh dunia samada yang bercorak ketara atau tidak ketara.
8. Syorkan nama Bandaraya Melaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dinamakan Bandaraya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Tuah.

No comments :

Post a Comment