Thursday, May 9, 2013

Perlembagaan Malaysia Berwadahkan Sejarah, Tradisi dan Legasi Bangsa NAIB CANSELOR KUIM MEMBAHASKAN KONSEP “THE POLITICS OF CONTINUITY AND CHANGE”

Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM

Perlembagaan Malaysia Berwadahkan Sejarah, Tradisi dan Legasi Bangsa
NAIB CANSELOR KUIM MEMBAHASKAN KONSEP “THE POLITICS OF CONTINUITY AND CHANGE”

Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim telah diberi penghormatan untuk memberi Ucap Utama sempena Seminar Kebangsaan Sejarah Kesultanan  Melaka 2011

Merungkai sejarah Kesultanan Melaka dan sumbangan kesultanan ini kepada sejarah dan peradaban  Malaysia, Indonesia, Brunei Darusalam, Singapura, Thailand dan Philipina. 

Beliau menekankan kepada pengertian sejarah kesultanan  Melayu Melaka dari perspektif warisan, tradisi dan realiti masyarakat serta impaknya kepada sosiopolitik dan kemajuan Malaysia serta Nusantara pada hari ini. Beliau turut berpendapat bahawa sektor sistem kenegaraan, politik kuasa, agama dan bahasa dipengaruhi oleh peristiwa sejarah sesebuah negara. 

Selain itu, beliau turut menyentuh perkara yang berhubung dengan aura yang dimiliki oleh institusi raja-raja Melayu pada hari ini yang kebanyakannya diwarisi dari era Kesultanan Melayu Melaka. 

Dengan menamakan sebagai Politik Kesinambungan dan Perubahan atau ‘the Politics of Continuity and Changes,’ iaitu dengan melihat pemegang kuasa-kuasa mutlak terdiri daripada raja-raja Melayu, sultan-sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang dilantik oleh raja-raja.

Beliau turut menyebut, selepas kejatuhan kerajaan Kesultanan Melaka pada 1511, kerajaan  Melayu dilanjutkan kepada kesultanan kerajaan Johor, Johor-Riau dan Johor-Riau-Lingga yang mewarisi empayar Melaka dari segi institusi raja-raja dan sistem kerajaan sehinggalah perpecahan empayar Johor-Riau sekitar tahun 1720-an, akibat kemasukan pengaruh Bugis dan Minangkabau ke dalam politik Melayu.

Ini diikuti oleh kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu baru sepanjang abad ke-18 dan 19 di mana penguasa politik dan kerajaan masih berada ditampuk raja-raja dan sultan-sultan terdahulu. Sehinggalah campur tangan pihak British pada tahun 1874, sistem residen diperkenalkan. 

Terdahulu, British dan Jepun berkomunikasi secara undang-undang dengan raja-raja Melayu sehinggalah kepada termaktubnya perjanjian negeri-negeri  bersekutu pada 1 Julai 1896, di mana kali pertama Raja Melayu ini dipertemukan oleh pihak British dalam satu persidangan yang dinamakan Persidangan Durbar di Kuala Kangsar Perak.

Kuasa sultan sebagai pemerintah dan Yang Dipertua Negeri diteruskan sehingga ke era Malayan Union pada April 1946, apabila Harold Michael meminta persetujuan raja-raja  untuk mengubah sistem pemerintahan kerajaan kepada Malayan Union dan rancangan ini gagal. Seterusnya, raja-raja Melayu  memainkan peranan sebagai pemerintah dan memegang tampuk kuasa.

Apabila di tubuh Suruhanjaya Reid untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1956/57, dalam rundingan tersebut tiga pihak menjadi tunggak utama yang iaitu raja-raja Melayu atau wakil mereka, komponen ahli-ahli parti perikatan, UMNO, MCA dan MIC, yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan wakil British.

Hasil rundingan dan kontrak sosial ini, maka, termaktublah kedudukan dan hak undang-undang institusi raja-raja Melayu di dalam persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri Melayu yang disebut sebagai Undang-Undang Tubuh. 

Perlembagaan termaktub, Yang Di Pertuan Agong (YDPA) sebagai pemimpin utama Negara, manakala, negeri-negeri yang mempunyai raja diketuai oleh raja tersebut dan negeri-negeri yang tidak beraja diterajui oleh Yang Dipertua Negeri.

Sehingga kini, kedudukan baginda sultan dikanunkan di dalam Perlembagaan Persekutuan: bab 1 perkara 32 hingga 38 mengenai kepala utama Negara, bab 2 Majlis Raja-Raja , perkara 38 tentang kedudukan dan juga hak-hak undang-undang raja-raja Melayu. Bab 3 tentang pemerintahan negara yang termasuk dalam perkara 39 hingga 43, bab 5 tentang kedudukan raja-raja Melayu  diperingkat negeri-negeri iaitu termaktub dalam perkara 30 hingga 32 sehingga disebut bahawa perkara-perkara mengenai isu raja Melayu  ini dianggap sebagai tiang seri kepada Perlembagaan Persekutuan hari ini dan juga perlembagaan negeri-negeri.

Ini jelas membuktikan bahawa sultan mempunyai hak dalam penggubalan undang-undang dan perlembagaan. Dalam istilah undang-undangnya baginda mempunyai “Locus Standi” perundangan. 

Maka terbinalah sistem pemerintahan beraja dan sistem raja berperlembagaan yang menjadi teras kepada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Ini menunjukkan bahawa Kesultanan Melayu Melaka membawa pengaruh yang amat besar kepada sistem pemerintahan Malaysia pada hari ini. 

Seterusnya, beliau memperkatakan mengenai agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; sebagai agama rasmi dan raja-raja Melayu adalah Ketua Agama di peringkat negeri manakala, YDPA sebagai ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja. 

Agama Islam juga dianuti sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi dan mempunyai penganut yang paling ramai di kalangan orang Melayu  serta diwarisi oleh negeri-negeri  yang lain hingga ke hari ini. Begitu juga pada bahagian 12 artikel 152, berhubung dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa ini dipertuturkan sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi malah sebelum era kesultanan tersebut dan dalam konteks seluruh alam Melayu, bahasa ini telah dipertuturkan oleh penduduknya dan ini mewajarkan kepada pembentukan perkara 152: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Ini juga ada kaitannya dengan pembentukan artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan di mana Bahasa Melayu dan Agama Islam menjadi sebahagian komponen pengertian istilah Melayu di Malaysia.

Begitu juga dengan perkara 153 berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera. Dirujuk kepada hakikat sejarah dan tradisi di mana orang Melayu merupakan pemegang kuasa dan induk kepada pemerintahan dan kerajaan yang mencetuskan kepada istilah Ketuanan Melayu  dan adalah menjadi tanggungjawab YDPA untuk memastikan perkara 153 ini dilaksanakan.
Seminar mengambil ketetapan menyokong ucap utama ini dengan perkara-perkara berikut:

Pertama: Menyokong kerajaan untuk menjadikan sejarah sebagai matapelajaran wajib di sekolah-sekolah.

Kedua: Mempertahankan Perlembangan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri serta peranan institusi raja-raja dalam pemerintahan Negara Malaysia.

Ketiga: Mempertahankan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan Islam sebagai agama persekutuan serta mendesak pihak-pihak tertentu menangkis anasir-anasir yang cuba memperlekehkan masyarakat Melayu beragama islam.

Keempat: Mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang terdapat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta menyeru pihak-pihak yang berkewajipan untuk melaksanakan penggunaan bahasa ini dengan cara lebih berkesan.

Kelima: Mempertahankan Perkara 153, berhubung dengan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera serta menangkis anasir-anasir yang cuba mempersoal dan meremehkan artikel ini.

Keenam: Mengesyorkan supaya Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri dijadikan salah satu matapelajaran induk atau subjek induk diajarkan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian untuk mencetuskan semangat patriotism dan kecintaan kepada Negara.

Ketujuh: Menyokong kerajaan negeri Melaka menggalakkan Pelancongan Sejarah juga tidak ketinggalan menekankan sejarah kesultanan Melaka yang ada dalam bentuk “tangibal dan intangibal”.


No comments :

Post a Comment