Thursday, May 9, 2013

HUMBAN KETUANAN MELAYU?... NAIB CANSELOR KUIM ANALISIS ANTARA REALITI SEJARAH DENGAN TAK CELIK BUDAYA



Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM

HUMBAN KETUANAN MELAYU?...
NAIB CANSELOR KUIM ANALISIS ANTARA REALITI SEJARAH DENGAN TAK CELIK BUDAYA

Pendapat sarjana yang mengatakan penduduk asal Malaysia terdiri daripada Melayu dan Pribumi telah dibahaskan sejak dulu lagi tapi ada pihak-pihak tertentu yang mudah lupa dengan hakikat ini. Sarjana dan penyelidik terdahulu berpendapat kalangan melayu dan pribumi ini secara umumnya terdiri daripada Melayu Proto dan Melayu Deutero.
ASAL USUL MELAYU

Melayu Proto terdiri daripada kalangan oleh asli dari pelbagai suku yang menjadi penduduk asal seperti di Sabah, Sarawak dan juga semenanjung.
 
Di Sabah terdapat Kadazandusun, Kadazan Papar, Kadazan Penampang, Tagahas, Tangara, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Bagahak, Bajau, Iranun,  Ubian, Binadan, Suku Suluk, Murut, Paitan, Bonggi, Idahan, Kokos, Kedayan, Bisaya, Kimarang, Rumanau, Minokok, Tidung, Bundu, Kimensi, Lobou dan sebagainya.
Di Sarawak terdapat suku Bidayuh, Iban, Melanau, Orang Ulu, Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan, Kelabit, Bisaya, Kedayan dan sebagainya. Manakala di semenanjung terdapat kumpulan orang asli yang mendiami  tanah asal di sini.
Melayu Deutero ialah kalangan melayu yang terdedah kepada pengaruh asing dan mendiami politi-politi melayu di sepanjang pesisir pantai dan merekalah yang banyak membawa perubahan kepada tradisi politik, kebudayaan, agama, dan ekonomi apabila Malaysia terdedah kepada proses fenomena pengantarabangsaan ‘Internationalization’ dengan kalangan luar daripada timur dan juga barat.
KEPIMPINAN MELAYU
Di kalangan mereka juga telah muncul kepimpinan melayu dan pribumi yang asalnya disebut sebagai para Datu atau Datuk yang terdiri daripada pembesar-pembesar tempatan yang mempunyai kewibawaan pentadbiran dan pemerintahan sehingga wujudnya Institusi Kedatuan umpamanya di Sabah dan Sarawak para Datu amat dihormati dan merekalah yang menjadi penerus kepada tradisi kepimpinan pribumi semenjak zaman dahulu lagi sehingga ke era kedatangan British, Raja Brooke ataupun Syarikat Berpiagam Inggeris di Sabah.
Sementara di Semenanjung Malaysia para Datu ini menjadi ketua kepada kepimpinan pribumi umpamanya era Zaman Melaka para Datu ini mentadbir kawasan-kawasan tertentu seperti Datuk Ungku Klang menjadi pentadbir kepada  Daerah Klang, Datuk Penggawa Permatang menjadi ketua dan pentadbir yang berwibawa di Kuala Selangor, kemudian Datuk Wijaya Hululangat menjadi ketua dan pentadbir kepada daerah Hulu Langat sehinggalah kehadiran Raja Selangor yang Pertama iaitu Sultan Raja Lumu yang menjadi Sultan Sallehuddin Shah di mana para Datu ini menjadi penyokong kepada terbentuknya institusi kerajaan yang diketuakan oleh seorang raja.
Secara literal munculnya istilah kerajaan itu berasal dari perkataan Raja dan apabila telah menjadi kompleks menjadi pentadbiran dan pemerintahan muncullah kerajaan yang berwibawa dan berdaulat di negeri masing-masing.
Ini bukanlah perkara baru tetapi merupakan kelanjutan daripada era Kesultanan Melaka. Menurut sumber Siam dan Portugis, para Datu ini dikenali sebagai Datuk Mendelika yang menjadi ketua dan pentadbir di daerah atau komoniti masing-masing sejak era Kesultanan Melaka.
Kerajaan Perak dan Pahang umpamanya telah mewarisi secara langsung institusi kerajaan dan era Kesultanan Melaka di mana sampai ke hari ini ramai pembesar-pembesar Perak dan Pahang masih menggunakan gelaran-gelaran Kebesaran di Zaman Kesultanan Melaka seperti Bendahara Paduka Raja, Datuk Shah Bandar, Datuk Maharajalela, Datuk Suliwatang dan sebagainya.
Institusi Kedatuan ini juga terdapat di negeri Sembilan, di mana mengikut sejarahnya Para Datuk, Pembesar-pembesar dan penghulu yang telah mengundang Raja Melawah di Pagar Ruyung untuk mewujudkan sebuah Institusi Kerajaan atau Kesultanan yang digelar sebagai Yang DiPertuan Besar.
Begitu juga di Terengganu, pada era Kesultanan Melaka, Terengganu ini ditadbir oleh keluarga Bendahara hinggalah ke Tun Zainal Abidin di lantik menjadi Sultan Zainal Abidin yang pertama setelah berpecahnya empayar Johor-Riau-Lingga-Pahang sekitar tahun 1720an.
Disinilah bermulanya kedaulatan dan apa yang disebut sebagai Ketuanan Melayu. Ketuanan berasal dari perkataan tuan iaitu pemilik yang berwibawa dan Raja/ Sultan merupakan tuan yang berwibawa sehingga wujudnya istilah ‘Daulat Tuanku’. Raja-raja melayu ini dianggap sebagai tuan kepada negeri masing-masing dan juga para pembesar menjadi pentadbir kepada raja ini yang mempunyai wibawa dan kuasa pentadbiran di daerah masing-masing.
KETUANAN MELAYU
Sehingga ke Era British, Ketuanan, Wibawa dan Kedaulatan Raja-raja melayu ini masih diiktiraf dan pembesar-pembesar melayu sebagai paksi berdirinya kedaulatan ini sehinggakan Malaysia di panggil sebagai Tidak Pernah Dijajah Tapi Dinaungi/ Dilindungi oleh British. Ini kerana mereka (British) tahu bahawa tanah-tanah di Malaysia ini sudah bermilik dan berdaulat serta boleh mentadbir secara sendiri dan bebas daripada cengkaman kuasa-kuasa luar.
Ini ternyata dalam dokumen perjanjian persekutuan 1948 di mana British secara tersuratnya menyatakan negeri-negeri melayu ini adalah menjadi naungan kepada Ratu Inggeris.
Di samping itu, kuasa melayu ini terus memegang tampuk pentadbiran dan penguasaan walaupun setelah runtuhnya kesultanan Melaka dan tertubuhnya empayar Johor Riau Lingga. Tampuk pemerintahan dan tuan yang memiliki tanah masih berada di tangan raja-raja melayu yang disokong oleh pembesar-pembesar tempatan.
Pengiktirafan terhadap Raja-raja Melayu dan sultan serta kedaulatan mereka di rakamkan dalam undang-undang tubuh negeri masing-masing seperti undang-undang tubuh negeri Johor, Terengganu, Selangor, Undang-undang 99 Perak dan Hukum Kanun Kedah semuanya meletakkan raja-raja melayu sebagai tuan atau yang dipertuan mereka yang didaulati dan juga diiktiraf.
Hingga ke Era Kedatangan British, Raja-raja ini masih diiktiraf dan mempunyai Locus Standi atau hak undang-undang, serta berkebolehan untuk mendakwa dalam mahkamah. Sebagai contoh Perjanjian Pangkor 1874, setelah tercetusnya tragedi Pasir Salak di mana terbunuhnya pegawai British yang bernama JWW birch, pihak British berkomunikasi secara undang-undang dengan pemegang-pemegang kuasa yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dan juga pembesar-pembesar melayu seperi Raja Abdullah, Raja Yusoff, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan lain-lain lagi.
Ini kerana British mengiktiraf Ketuanan atau kedaulatan para pribumi dan melayu ini. Apabila berlangsungnya perjanjian 1896/97 di Kuala Kangsar Perak yang dinamakan sebagai Persidangan Durbar, kali pertama Raja-raja Melayu yang berdaulat dan berwibawa telah dipertemukan oleh British dan ini telah membawa kepada tercetusnya kepada ilham untuk menubuhkan Majlis Raja-raja pada perjanjian persekutuan 1948 dan ini memberi laluan untuk tercetusnya tragedi Malayan Union di mana orang-orang melayu bangkit menentang Malayan Union dengan perkenan raja-raja melayu sehingga skema Malayan Union ini terbatal.
Apabila tercetus Perjanjian Persekutuan 1948 pihak British berunding dengan Raja-Raja melayu untuk membentuk sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri oleh semua negeri-negeri semenanjung.
Maka kedaulatan dan kuasa raja-raja melayu yang cuba digugat oleh Skema Malayan union dikembalikan semula dan raja-raja melayu ini berdaulat dalam sebuah Negara Malaysia yang Merdeka 1957.
Oleh kerana masyarakat telah menjadi kompleks apabila wujudnya masyarakat plural dengan kehadiran para imigran dari luar terutama dari China dan India yang diimport oleh British untuk tujuan ekonomi di ladang dan juga di lombong-lombong bijih dan juga di kawasan bandar di mana kedua-dua kaum ini rancak menjalankan aktiviti. British telah mengambil satu pendekatan mempertemukan kalangan imigran ini yang mendakwa diri mereka banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negara dalam gagasan untuk mencapai kemerdekaan tanah melayu.

FUNGSI ORANG MELAYU DALAM SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
Bagi membentuk sebuah Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka pihak yang menganggotai jawatankuasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang pertama ialah Raja-raja melayu yang berdaulat dan diiktiraf oleh British atau wakil-wakil mereka yang terdiri daripada para pembesar yang berwibawa seperti dari Kelantan Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Panglima Bukit Gantang Hj. Abdul Wahab, di Perak, Di Johor, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya.
Menduduki jawatankuasa ini bersama-sama wakil-wakil parti politik yang mewakili sektor rakyat iaitu parti perikatan mengandungi UMNO (orang Melayu), MCA (orang China), dan MIC (orang India). Pihak Biritish menjadi fasilitator kepada pembentukan perlembagaan persekutuan ini.
Salah satu agenda yang besar pembentukan perjanjian ini ialah tertubuhnya Majlis Raja-raja Melayu yang telah bersidang setakat ini ratusan bilangannya dan institusi raja-raja melayu ini telah dijadikan sebahagian besar daripada banyak perkara dalam perlembagaan persekutuan dan dilanjutkan sehingga ke Perjanjian Malaysia 1963. Turut dikekalkan dengan kemasukan-kemasukan perkara baru seperti perkara 182 dan 183 iaitu perkara yang mengawal tindak tanduk raja-raja melayu dari segi perundangan dan juga dari segi perlembagaan.
Ini bermakna semenjak zaman berzaman dahulu Malaysia ini telah mempunyai sistem pemerintahan sendiri serta bertuan dan tuannya terdiri daripada orang melayu dan para datu tempatan yang mempunyai wibawa di kawasan masing-masing seluruh Malaysia.
Menurut Dr. Mohd Yusoff Hashim, Tanah ini sudah berpenghuni, mempunyai sistem pentadbiran, mempunyai sistem pemerintahan dan bukan tanah kosong seperti Amerika, Canada, New Zealand, Australia dan lain-lain negara yang tidak ada sistem pemerintahan dan pentadbiran sebelum kemasukan kuasa-kuasa asing.. Masyarakat melayu menjadi teras kepada pembinaan tamadun ini.
Malah, jika ditinjau dari segi fakta nombor masyarakat inilah yang paling majoriti mendiami Malaysia hingga hari ini sehinggakan ada pihak yang menggunakan istilah The Politics of numbers dan di kalangan ahli sejarah dan kebudayaan menyebutnya sebagai The Politics of Continuity and tradition iaitu fakta  kesinambungan budaya daripada dulu hingga hari ini dimana masyarakat melayu dan pribumi merupakan teras kepada perkembangan tamadun ini.
Dan baru-baru ini YAB Perdana Menteri sendiri menamakan mereka bukan sahaja sebagai tuan tanah/ ketuanan malah menamakan kalangan ini sebagai kalangan teras/ keterasan dan induk/keindukan yang mempunyai sejarah dan peradabannya sendiri.
Kehadiran para imigran dari luar memperkayakan lagi keindukkan ini atau ketuanan ini tetapi terasnya masih lagi kepada melayu dan pribumi.
Perkara ini juga menjadi sebab kewajaran terbentuknya beberapa perkara dalam perlembagaan persekutuan iaitu dari segi agama, agama Islam sebagai agama persekutuan dalam perkara 3 perlembagaan persekutuan, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, Perkara 153, Hak Keistimewaan orang melayu dan pribumi serta hak bukan pribumi yang halal dari segi undang-undang yang menjadi tanggungjawab kepada Yang DiPertuan Agong untuk mengawasi, mengekal dan melaksanakannya.
Perkara 160 tafsiran mengenai orang melayu yang berdasarkan kepada 3 elemen iaitu melayu bererti beragama Islam, berbahasa melayu dan menggunakan adat istiadat melayu. Bukan sahaja Fakta nombor malah kelangsungan daripada dulu hingga kini dirakamkan secara perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan Negara.
Adalah amat dukacita sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang menafikan hakikat sejarah yang telah menjadi realiti kepada keadaan hari ini kerana faktor-faktor sejarah, budaya, agama, bahasa dan adat istiadat yang telah diamalkan semenjak beribu-ribu tahun dahulu tiba-tiba dinafikan atas kehendak politik atau kelompok.
Penafian sumbangan raja-raja melayu, pembesar-pembesar melayu, para datu/datuk dan para elite Melayu seperti golongan bangsawan Melayu adalah niat buruk pihak berkepentingan yang ingin menggugat hak keistimewaan pribumi.
Dalang kepada pencabulan hak pribumi wajar di label sebagai penderhaka kepada bangsanya seperti gesaan titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak yang terpelajar dan tinggi tahap intelektualnya baru-baru ini, “Usaha meraih sokongan politik bukan tiket membolehkan status bangsa digadaikan.
Sifat mempamerkan ‘Kami Kurang Melayu’ atau ‘ We Are Less Malay’ untuk populariti politik adalah perbuatan silap paling besar dan penderhakaan paling durjana kepada bangsa melayu”.
Dari segi perpaduan, kemakmuran, Kesatuan, dan juga semangat setia kawan toleransi, kesederhanaan yang menjadi wawasan kepada kerajaan pemerintah hari ni adalah berlandaskan kepada hakikat sejarah dan realiti.
Oleh itu, amat wajar sekali mata perlajaran sejarah diwajibkan untuk dilaksanakan di peringkat sekolah mulai 2014 sebagai penyedaran kepada kalangan mereka yang tidak celik sejarah dan tidak celik budaya yang mempunyai agenda politik yang begitu sempit dan mengusarkan serta penderhakaan paling durjana kepada bangsa melayu.
Temuduga dengan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim,
Pakar Sejarah dan Kebudayaan, pernah menjadi Profesor di UM selama 15 tahun
Banyak menulis artikal mengenai masyarakat melayu dan kebudayaan melayu dan
kini menjadi Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)

No comments :

Post a Comment