Thursday, May 9, 2013

TOKOH TERBILANG: NAIB CANSELOR DIIKTIRAF TOKOH AKADEMIK ILMUAN ANTARABANGSA



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM

TOKOH TERBILANG: NAIB CANSELOR DIIKTIRAF TOKOH AKADEMIK ILMUAN ANTARABANGSA

Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim merupakan pakar dalam bidang sejarah terutama dalam skop ketamadunan manusia, kesultanan Melayu Melaka dan pembentukan Malaysia.

Sumbangan beliau dalam bidang akademik dan pengajian tinggi negara mewajarkan anak kelahiran Melaka ini menerima anugerah penghargaan akademik tertinggi yang membawa kepada gelaran Prof. Emeritus setelah 25 tahun berkhidmat di Universiti Malaya sejak 1973 hingga 2000.

Kesarjanaan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff terserlah melalui penulisan. Puluhan malah ratusan artikel dan penulisan beliau dibukukan serta dijilid sebagai bahan terbitan ilmiah. Aktif dalam menghasilkan artikel untuk pembentangan kertas kerja di peringkat nasional dan global turut membuktikan kecintaan beliau terhadap ilmu.

Beliau berpendapat, ilmu yang tidak dikongsi bersama adalah ilmu yang sia-sia, maka tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Melaka tahun 2012 ini sentiasa mencari ruang dan peluang untuk perkongsian ilmu dengan ilmuan antrabangsa seperti Moscow Russia, South Afrika, Indonesia seperti di aceh, Pelembang, Jambi dan Jakarta Sulawesi Selatan, Nepal, China dan Australia. 

TOKOH SEJARAH & SUMBER RUJUKAN KESAHIHAN FAKTA

Idea dan informasi terkini lahir dari kotak pemikiran luar biasa tokoh sejarah ini bukan sahaja menjadi rujukan di peringkat nasional, malah beliau turut dirujuk sebagai sumber untuk kesahihan fakta. Buktinya, buku pertama beliau yang telah diterbitkan oleh Hanuman Educational book pada tahun 1975 yang bertajuk Istilah Sejarah Melayu dari Perspektif Sastera dan Sejarah turut relevan sebagai rujukan hingga kini.

Di samping itu, penerima anugerah tertinggi akademik ini turut diundang selaku pakar sejarah dan tamadun Melayu Malaysia di Nusantara oleh stesyen television terkemuka iaitu Alhijrah Media Corporation (TV Al-Hijrah) untuk merujuk dan mendapatkan maklumat tentang kejatuhan Empayar Melayu Melaka melalui slot ‘500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Melaka.’

Menurut Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff kelemahan dan kejatuhan empayar Melayu Melaka adalah disebabkan oleh kelonggaran perpaduan dalam masyarakat Melayu. Kesannya anasir luar yang datang ke bumi Melaka mudah menakluk minda masyarakat Melayu pada masa itu.  

Selain itu, kejatuhan empayar Melayu Melaka disebabkan oleh kedatangan Portugis yang bersifat serampang dua mata, iaitu untuk berdagang dan menakluk negeri Melaka. Tambahan pula, Keadaan mudah kepada Portugis kerana kelonggaran perpaduan dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Ulasan beliau turut mendapat reaksi positif tokoh akademik di Malaysia.

Rentetan sesi bual bicara di Alhijrah Media Corporation beliau kemudiaanya diundang untuk membincangkan isu kewujudan Hang Tuah yang hangat diperkatakan pada ketika itu di Radio 24  Bernama melalui slot ‘Kerusi Panas.’

Perbincangan berlandaskan fakta akhirnya merungkai sejarah kewujudan Hang Tuah pada ketikan ituyang turut dipolitikan oleh golongan berkepentingan. 

Kepakaran Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff sebagai sumber rujukan yang sahih tidak hanya diiktiraf oleh media nasional, malah di peringkat global. Terdahulu, Korean Broadcasting System (KBS) yang bertempat di Busan datang ke KUIM untuk menemuramah Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff mengenai Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut KBS Producer, Mr Lee Hae Seon, beliau mendapat maklumat tentang Prof Yusoff melalui sarjana-sarjana dari Eropah seperti England, Jepun, Portugal dan Belanda. 

Sarjana-sarjana tersebut telah mengesyorkan untuk menemu bual Prof. Yusoff untuk mendapat maklumat yang terperinci tentang Kesultanan Melayu Melaka kerana kepakaran beliau di bidang Sejarah dan Historiografi yang menjurus kepada sejarah Malaysia dan Nusantara dan ilmu filologi sejarah Melayu iaitu kajian mengenai manuskrip-manuskrip melayu, bahasa melayu dan sejarah Melayu.

TOKOH ILMUAN DAN PENULISAN BERKESAN

Bermula dengan tesis beliau bertajuk syair sultan maulana, Sejarah Kedah 1820-an yang telah diterbitkan oleh Penerbit UM serta dirasmikan oleh Sultan Agong Abdul Halim di istana Kedah Kuala Lumpur bersama Naib Canselor UM pada masa itu Prof. Diraja Ungku Aziz pada tahun 1980.
Seterusnya beliau turut memenangi anugerah Longman menerusi Tesis Doktor Falsafah (PhD) Terbaik Sastera dan Sains Sosial UM yang bertajuk Riwayat Terengganu Darul Iman yang turut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau yang merupakan seorang sejarawan yang pakar dalam penyelidikan dan penulisan pernah menjadi Karyawan Tamu sebanyak kali di Universiti Leiden dan School of Oriental African Studies (SOAS).

Selain itu beliau turut dilantik Prof. Pelawat di Universiti Brunei selama dua tahun iaitu pada tahun 1988 hingga 1990. Beliau yang aktif dalam bidang penyelidikan dan penulisan turut dilantik menjadi Chief Editor untuk jurnal-jurnal terbitan Jabatan Sejarah UM, Muzium Negara, Arkib Negara dan juga pakar rujuk kajian Malaysia USM.

PENGIKTIRAFAN PERINGKAT ANTARABANGSA 

Pengiktirafan berharga adalah apabila buku-buku hasil kajian beliau turut dirujuk oleh mahaguru yang pernah mendidik beliau, pakar luar dalam dan negara, para ilmuan dari peringkat golongan akademik sehingga Prof. Emeritus.

 Antara buku-buku yang telah dijadikan rujukan oleh ilmuan antarabangsa adalah Kesultanan Melayu Melaka, Sejarah Melayu Nusantara dan Diskusi Sejarah.

Penulisan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim turut diguna pakai oleh para ilmuan sejarah sebagai bahan rujukan dalam forum dan persidangan dari pelbagai peringkat. Antaranya Prof. Emeritus Dr. Ulrich Kartz dari School of Oriental African studies di London telah menyebut sekurang-kurangnya 11 kali nama Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim dalam pembentangan kertas kerjanya ketika Persidangan Antarabangsa Karya Agung Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah anjuran IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka pada 1 dan 2 November lalu.

Tokoh Filologi dari Universiti Lieden, Prof. Emeritus T. Iskandar yang menulis sebuah buku bertajuk Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad yang juga merupakan Mahaguru beliau turut merujuk buku beliau. Seorang lagi Mahaguru beliau iaitu Prof. Emeritus Dr. Leonard Andaya dari Universiti Hawai Manao yang menulis buku bertajuk ‘Leaf at the same tree’ turut merujuk buku Hikayat Siak Tradisi Sejarah Melayu Nusantara yang dikarang Prof. Emeritus Dr. Yusoff.

Selain itu, buku Sejarah Melayu dan Kesultanan Melayu Melaka turut dijadikan rujukan tokoh akademik Indonesia, Prof. Dr. Husni Tamrin dalam buku beliau Naskah Historis Politik dan Tradisi terbitan UINSUSKA, 2009.  

Disamping itu, Buku Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi istilah ‘Magnung Opus’ (Karya Agung) yang memasuki edisi kedua terbitan DBP serta rujukan wajib kepada semua pengkaji-pengkaji Malaysia dan Alam Melayu.

Antara buku-buku mutakhir yang berjaya dihasilkan di mana Prof. Emeritus Dr. Yusoff sebagai Ketua Editornya ialah Empayar Melaka tradisi Agung Melayu dan Panglima Awang terbitan PERZIM 2010. Kedua-dua buku ini menjadi rujukan utama oleh para penulis sejarah Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menggubal sukatan pelajaran baru yang diperkenalkan kelak.

Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff kini masih lagi aktif dalam penyelidikan dan penulisan. Terkini beliau menjadi Ketua Eksekutif Jawatankuasa Penyelidik dan Penerbitan Projek Mega Sejarah Nasional Malaysia yang akan diterbitkan Jabatan Sejarah UM, KUIM dan IKSEP di mana Penaung projek ini ialah Perdana Menteri Malaysia, YAB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Pengerusi Projek Mega ini ialah Ketua Menteri Melaka, YAB. Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff Projek Mega Sejarah Nasionali ini telah sedang dalam proses penyelidikan dan penulisan serta berstatus 80 peratus siap sebelum diterbitkan.

Justeru itu, jelas penglibatan dan sumbangan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff dalam bidang sejarah tanahair cukup membanggakan dan mampu menjadi inspirasi golongan muda. Beliau berpendapat, ‘Subjek sejarah tidak seharusnya dilabel sebagai subjek yang membosankan, malah jika pendidik menggunakan pendekatan bijak dan kreatif subjek ini mampu menarik minat golongan muda. Zaman ini bukan lagi zaman ‘kertas dan pensil’ di mana pendekatan konvensional tidak lagi relevan terutama subjek sejarah,’ jelas beliau ketika diwawancara oleh RTM1 melalui slot Selamat Pagi 1 Malaysia.

Sebutir jauhari menyinar disegenap inci peremeter pendidikan. Wajar menerima pengiktirafan tertinggi melalui sumbangan. Beliau Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim tokoh terbilang sentiasa dikenang.

No comments :

Post a Comment