Thursday, May 9, 2013

NAIB CANSELOR KUIM DIANUGERAHKAN TOKOH MELAYU TERBILANG 2012 Sempena Menyambut Hari UMNO ke-66 Peringkat Negeri Melaka

Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam

NAIB CANSELOR KUIM DIANUGERAHKAN TOKOH MELAYU TERBILANG 2012
Sempena Menyambut Hari UMNO ke-66 Peringkat Negeri Melaka

Penganugerahan Tokoh Melayu Terbilang 2012 peringkat negeri Melaka merupakan pengiktirafan kerajaan negeri kepada individu yang banyak menyumbangkan idea, usaha dan komitmen kepada kemajuan dan pembangunan negeri Melaka. Baru-baru ini Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hj. Hashim telah dinobatkan sebagai tokoh Melayu terbilang dalam bidang Akademik dan Pentadbiran sempena hari UMNO ke 66 peringkat negeri Melaka di Seri Bendahara.

Pengiktirafan usaha dan pengorbanan Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff bukan sahaja kepada kemajuan dan pembangunan negeri Melaka, malah penganugerahan ini merupakan pengiktirafan Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff dalam memartabatkan maruah, identiti dan hak bangsa Melayu di Malaysia.

Penganugerahan kepada Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2012 peringkat negeri Melaka dilihat amat bertepatan dengan kriteria penganugerahan. Ini kerana sepanjang 2011 sehingga kini, jasa dan komitmen beliau terhadap pembangunan modal insan di kalangan masyarakat negeri Melaka mewajarkan beliau diiktiraf sebagai Tokoh Melayu Terbilang.

Sumbangan bidang Akademik

Dilahirkan pada 16 Mac 1945, anak jati negeri Melaka ini merupakan graduan Diploma Perguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1966). Setelah tamat pengajian, beliau yang cukup cintakan bidang pendidikan memulakan kerjayanya sebagai guru di sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Batu Berendam Melaka.

Semangat cintakan ilmu tidak pudar begitu sahaja dan beliau terus melanjutkan pelajaran sehingga menjawat jawatan Pensyarah di Universiti Malaya pada 1975, manakala tahun 1990, beliau merupakan Profesor di Universiti Malaya.

Penganugerahan Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2012 dalam bidang pendidikan turut dinilai kepada penglibatan beliau dalam pembangunan dan kemajuan akademik bagi memartabatkan bangsa Melayu dalam bidang pendidikan.

Pakar dalam bidang sejarah, Prof Emeritus Datuk Wira pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Sejarah di Universiti Malaya pada tahun 1984 hingga 2000. Di samping itu, idea dan sumbangan beliau dalam bidang akademik turut diiktiraf apabila beliau dilantik sebagai Ahli Senat, Universiti Malaya ( 1984 – Mac 2000) dan Wakil Senat ke Lembaga Institut Pengajian Tinggi, Universiti Malaya (1994–1996).

Di samping itu, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff merupakan Ahli Lembaga Akademi Pengajian Melayu, 1998 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pensyarah di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Kini, sumbangan beliau dalam bidang akademik tidak lumpuh walaupun menjangkau usia 60 an, usia yang dikatakan manusia tidak produktif. Tetapi, di dalam usia ini beliau mampu menggalas tugas sebagai Pengerusi, Biro Pendidikan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Biro ini bertanggungjawab memartabat bidang pendidikan kepada lebih 10 negara yang menyertai DMDI termasuk Indonesia, Thailand, Brunei, Sri Lanka, China, Singapura, Madagaskar, Kemboja, United Kingdom, Australia dan Filipina.


Sumber Rujukan Bidang Sejarah di Peringkat Nasional dan Antarabangsa

Keilmuan dan kepakaran beliau dalam bidang sejarah bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa. Beberapa stesen penyiaran antarabangsa turut merujuk kepada kepakaran beliau mengenai sejarah tanahair seperti Sistem Penyiaran Korea (KBS) yang berpusat di Busan, Korea, bahan rujukan tersebut dijadikan skrip dokumentari stesen penyiaran Korea (KBS) bertajuk ‘Special Report of Unforgettable Port City in the world, Melaka.

Pelbagai pengiktirafan akademik telah diperolehi beliau seperti dilantik sebagai Fellow Penyelidik di Universiti Leiden, The Netherlands, pada tahun 1980. Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff turut memenangi Anugerah Longman Tesis Doktor Falsafah Terbaik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1985 selain turut dilantik sebagai Visiting Fellow di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom, pada tahun 1985. 

Dengan pencapaian akademik beliau yang sangat membanggakan serta sumbangan beliau dalam bidang akademik,  Universiti Malaya telah menganugerahkan Profesor Emeritus kepada beliau pada Ogos 2005. Selain itu Profesor Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Honaris Causa D Litt (SLMC) pada November 2008.

Penyelidikan dan Penerbitan

Di samping, kesibukan mengurus tadbir beberapa jawatan lantikan, beliau masih mempunyai masa untuk melaksanakan penyelidikan. Bersesuaian dengan komitmen sebagai pensyarah, beliau tidak pernah jemu untuk terus menerokai ilmu, kefahaman dan pengetahuan baru melalui penyelidikan dan hasil penyelidikan ini secara langsung menyumbang kepada perkongsian ilmu di kalangan masyarakat melalui penulisan beliau.

Sumbangan beliau dapat dilihat melalui penglibatan aktif dalam bidang penulisan lebih 20 buah buku yang menjadi rujukan para sarjana dalam dan luar negara. Antara buku yang di karang beliau ialah Diskusi Sejarah, Sejarah Melayu : Persepsi Sejarah dan Kesusasteraan, Syair Sultan Maulana : Persejarahan Melayu Kedah Abad ke 19, Kesultanan Melayu Melaka, Riwayat Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia, The Malay Sultanate of Melaka dan Hikayat Siak : Tradisi Persejarahan Melayu (Selenggara). 

Penulis buku berjudul Dua Puluh Lima Tahun Ketakhtaan Negeri Selangor dan Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur, 1800-1930 ini sering memberi galakan kepada pensyarah-pensyarah KUIM untuk menerokai bidang ilmu melalui penyelidikan. Projek penyelidikan bukan sahaja membuahkan idea dan pengetahuan baharu serta relevan, malah projek penyelidikan usahasama NGO dan IPT mampu menjana kewangan KUIM yang juga IPT milik penuh kerajaan negeri Melaka ini.

Selain itu, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hj Hashim turut aktif dalam penglibatan pembentangan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Lebih 500 kertas kerja telah dihasilkan dan dibentang di dalam dan luar negara antaranya beliau telah dijemput untuk memberi ucaptama bertajuk  ‘Sejarah Melaka : Warisan, Legasi dan Tradisi, pada Seminar Kebangsaan Sejarah Melaka 2011 di Universiti Sains Malaysia, ‘Meneliti kerjasama Pendidikan Sulawesi, Indonesia dengan Melaka, Malaysia,’ Diskusi Pendidikan Serantau Dalam Konteks Malaysia- Indonesia di Universitas Hasanuddin, Sulawesi, ‘Persejarahan Johor Era Empayar Johor 1512 – 1720 an di Bengkel bagi Projek Penulisan Empayar Johor Lama, Badan Warisan Johor, Johor Bahru.

Memartabat Maruah, Jati Diri dan Identiti Bangsa Melayu

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka, tahun 1430H/2009, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff merupakan sejarawan yang utuh dan kukuh mempertahan maruah dan jati diri bangsa Melayu. 

Selain itu, beliau aktif untuk menerokai ilmu pengetahuan mengenai identiti bangsa Melayu melalui penyelidikan. Tatkala, seluruh Malaysia digoyangkan dengan fakta bahawa Hang Tuah tidak wujud, penerima Seri Sultan Ab. Aziz Shah, Selangor (SSA) 1989, Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS), 1990, Darjah Mulia Seri Melaka (Datuk) (DMSM) 1992, Darjah Dato’ Indera Mahkota Pahang (DIMP) 2003 dan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) 2008, tetap dengan pendirian beliau bahawa Hang Tuah tetap wira Melayu dan kewujudannya tidak wajar dipersoalkan. Dihujani persoalan tentang keraguan kewujudan Hang Tuah, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff mengambil inisiatif untuk bersiar dalam slot ‘Selamat Pagi 1 Malaysia,’ RTM1 untuk menjelaskan kedudukan sebenar fakta sejarah yang dipertikaikan oleh segelintir pihak. 

Hujahan yang mantap disokong fakta hasil kajian dan kepakaran dalam bidang sejarah, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff tenang merungkai satu persatu fakta sejarah untuk menjelaskan isu identiti Melayu ini dan beliau berpendapat rakyat Malaysia harus menjadi bangsa membaca agar setiap isu persoalan berkaitan sejarah yang dibangkitkan tidak terus dilihat dari sudut negatif.

Selain itu, demi mempertahan maruah dan identiti bangsa Melayu, bergandingan dengan kerajaan Melaka, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff turut serta dalam penganjuran ‘Seminar Antarabangsa Hang Tuah: Sebutir Lazuardi Di Persada Tamadun Bangsa’ sebagai wadah akademik dan professional untuk membincangkan isu Hang Tuah ini. Perspektif ini dinilai bagi melayakkan Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2012 peringkat negeri Melaka.

No comments :

Post a Comment