Thursday, May 9, 2013

NAIB CANSELOR KUIM: SYOR MARTABATKAN TUN PERAK WIRA BANGSA DALAM FORUM KEBANGSAAN HANG TUAH WIRA BANGSA



Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM
 
NAIB CANSELOR KUIM: SYOR MARTABATKAN TUN PERAK WIRA BANGSA DALAM FORUM KEBANGSAAN HANG TUAH WIRA BANGSA

Sebut sahaja Tun Perak, rata-rata pasti mengenali ketokohan Bendahara zaman Kesultanan Melayu Melaka ini. Populariti Tun Perak tidak sehebat Hang Tuah yang sering diberi jolokan ikon Melayu, pahlawan Melayu dan rakyat yang taat setia kepada raja. Namun, pada hakikatnya yang kurang dipertonjolkan bukan sahaja dalam sukatan pembelajaran, malah kajian ilmiah, kehebatan Tun Perak sebagai perancang strategik kepada kemahsyuran empayar Melaka pada suatu ketika dahulu.

Terbaharu, dalam forum ‘Hang Tuah Wira Bangsa,’ Naib Canselor KUIM, Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff Haji Hashim selain memperkuatkan fakta tentang kewujudan Hang Tuah beliau turut mengesyorkan untuk memartabatkan Tun Perak sebagai ‘Wira Bangsa.’

Beliau yang juga arif dan pakar dalam sejarah penubuhan dan kemahsyuran empayar Melaka berpendapat, selain Hang Tuah yang dilabelkan sebagai pahlawan gagah dan berani, Tun Perak turut mempunyai perwatakan dan ketokohan dalam kemahsyuran empayar Melaka.

Umum mengetahui, susur galur kerajaan kesultanan Melayu Melaka yang didahului dengan Sultan atau Raja, kemudian disusuli Bendahara merangkap penasihat sultan suatu ketika dahulu.

Sebagai Bendahara DiRaja, Bendahara Paduka Tun Seri Perak merupakan perancang yang strategik dalam memastikan kemakmuran dan keamanan tanahair terpelihara, di samping turut dibantu oleh pembesar-pembesar Melaka yang lain.

Tun Perak merupakan Bendahara termasyhur di kalangan semua Bendahara dalam Kesultanan Melayu Melaka. Tambahan pula kedudukan beliau mampu diiktiraf sebagai Perdana Menteri mengikut hierarki kepimpinan negara pada masa kini kerana bertindak sebagai penasihat sultan dalam pemerintahan negara.

Di samping itu, Tun Perak merupakan perancang strategi peperangan, manakala pelaksana adalah Hang Tuah, penjalin hubungan diplomatik antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan negara luar dan bertindak sebagai pembangun dan pengembang ekonomi Kesultanan Melayu Melaka.
Hasil daripada idea Tun Perak untuk mewujudkan sistem pentadbiran efektif, rakyat Melaka pada zaman itu turut mengecapi keamanan dan kekayaan hasil daripada ekonomi yang pesat membangun.

Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim turut menjadikan forum ‘Hang Tuah Wira Bangsa,’ sebagai platform professional dan akademik untuk mengekspresi idea beliau bahawa selain Hang Tuah, sumbangan Tun Perak wajar dimartabatkan di mata bangsa.

Forum yang turut mengundang panel professional yang mempunyai kredibiliti tinggi bagi membincangkan tentang fakta sejarah tanahair, iaitu, Sejarawan negara, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, Sejarawan ternama, Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim, Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Pengkaji aktif bidang kesusasteraan, Dr. Lalita Sinha dan Naib Pengerusi Pengelola DBP, Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar.

Antara isu yang menjadi perbahasan hangat adalah isu Hang Tuah yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak bertujuan menidakkan kewujudan pahlawan Melayu tersebut.

Forum ‘Hang Tuah Wira Bangsa,’ ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang isu sejarah dan secara langsung membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia ketandusan sumber sejarah. Justeru itu, kesahihan fakta sejarah yang diwartakan mampu dipertikaikan.

Hasil daripada sesi perbahasan tersebut, panel sebulat suara, seia dan sekata memutuskan bahawa Hang Tuah wujud dan personaliti beliau sebagai rakyat yang taat setia kepada raja serta kepahlawanan yang digeruni tidak wajar dipertikaikan.

Fakta sejarah merupakan elemen yang mudah dipertikaikan atas dasar ketiadaan sumber, namun sikap pengkaji yang terlalu jumud untuk menggunakan sumber rujukan dalam negara semata-mata adalah tindakan yang bertentangan dalam amalan golongan akademik. 

Justeru itu, usaha menggali fakta sejarah seharusnya lebih meluas dengan aplikasi sumber sahih dari luar negara yang dihasilkan oleh pengkaji terdahulu sebelum keputusan atau dapatan kajian didedahkan secara umum.

Prof Emeritus Dr. Mohd Yusoff berpendapat, setiap usaha untuk menidakkan fakta sejarah tanahair perlu diperhalusi sebelum keputusan untuk mendedahkan dapatan kajian secara  umum kerana kesan penidakkan fakta sejarah bakal memberi kesan bukan sahaja kepada bidang pendidikan, malah bidang sosial, politik dan ketenteraman negara.

Beliau yang juga penulis buku ‘Hang Tuah: Di antara Fakta dan Fiksyen,’ berpendapat, kebijaksanaan Tun Perak mengatur strategi dalam politik, ekonomi dan sosial bukan sahaja mahsyur ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, malah impak positif perangcangan strategi tersebut turut diterima masyarakat hari ini dan sebagai pelaksana kepada stategi Tun Perak, Hang Tuah juga menyumbang kepada sistem politik yang dipraktikan pada hari ini.

Antaranya, sistem kedaulatan raja-raja Melayu di mana, rakyat memberi sepenuh taat setia kepada raja-raja Melayu yang mentadbir kelangsungan hal-hal agama di negara ini. Di samping itu, sistem pertahanan negara pada hari ini turut diwarisi daripada sistem pentadbiran terancang idea berkesan Bendahara Tun Seri Perak. Posisi keselamatan tidak hanya tertumpu di daratan sahaja, malah Tun Perak turut mengesyorkan agar keselamatan di lautan turut dititikberatkan. 

Rentetan daripada kemahsyuran empayar Melaka hasil gandingan perancangan strategik oleh hulubalang Melaka antaranya Bendahara Tun Seri Perak, sistem Perlembagaan yang digunapakai sehingga hari ini juga merupakan warisan strategik Tun Perak.

Fakta ini turut diperakui oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim yang juga aktif mengkaji susur galur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka, di mana Bendahara Tun Perak turut menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negeri Melaka, pembangunan ekonomi dan sosial serta kelangsungan politik efektif suatu ketika dahulu, bahkan sumbangan Bendahara terulung ini turut dipraktikan kepada sistem pemerintahan negara pada hari ini.

Justeru itu, usaha memartabatkan satu lagi ikon Melayu, iaitu Tun Perak wajar dilaksanakan agar generasi muda pada hari ini menghargai dan menyelami nilai-nilai positif Tun Perak yang membawa kepada keselamatan dan keamanan negara, pembangunan ekonomi dan sosial serta kelangsungan sistem pentadbiran yang efektif.

No comments :

Post a Comment