Friday, January 28, 2022

Portal KKM saluran peroleh maklumat sahih vaksinasi

Oleh Dr Mohd Sufiean Hassan - Januari 29, 2022 @ 11:00am

bhrencana@bh.com.my


KETIKA negara berdepan serangan wabak COVID-19, pelbagai usaha dirancang dan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan setiap peringkat rakyat dilindungi. 

Usaha kerajaan dalam memerangi wabak yang menyerang seluruh dunia ini wajar mendapat sokongan rakyat, kerana bumi dipijak ini adalah negara yang dicintai.

Pelbagai usaha dilaksanakan dari segi fizikal, sosial dan psikologi bagi memastikan rakyat menerima impak paling minimum walaupun banyak negara di luar sana yang rakyatnya sengsara kebuluran dan statistik kematian yang kian meningkat dek serangan wabak COVID-19.

Dalam usaha memastikan setiap rakyat mempunyai imuniti melawan serangan virus pembunuh ini, program vaksinasi yang awalnya menyasarkan imuniti kelompok, kemudian diperluaskan kepada semua peringkat umur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kini, kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang akan bermula 3 Februari depan.

Apa peranan rakyat bagi menyokong inisiatif ini? Dalam teknologi media hari ini, rakyat mempunyai akses luas kepada media dan sumber maklumat.

Dalam masa kurang seminit, pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber baik yang positif atau negatif pasti melintas pada skrin paparan telefon pintar.

Jadilah pengguna media yang bijak untuk menapis setiap maklumat berkaitan program vaksinasi, agar pembentukan struktur pengetahuan yang kukuh mampu mendorong tindakan yang sepatutnya.

Dapatkan maklumat sahih dan tepat melalui sumber yang wajar supaya kita tidak termasuk dalam kluster pengguna media yang menjadi mangsa kepada kecelaruan maklumat.

Kecelaruan maklumat adalah maklumat yang salah, iaitu maklumat palsu, mengelirukan, dimanipulasi dan direka bertujuan mencetuskan provokasi serta menimbulkan kebencian terhadap usaha kerajaan dalam program vaksinasi.

Maklumat berkaitan vaksinasi boleh diperoleh daripada portal KKM dan pengguna yang mempunyai keraguan tentang program vaksinasi boleh terus mengakses talian hotline bagi mendapatkan penjelasan daripada KKM secara terus.

Hari ini, pelaporan berita diterbitkan pelbagai portal sama ada rasmi atau tidak rasmi. Pengguna sering menjadi mangsa berita palsu apabila terdedah berita dilaporkan portal tidak rasmi.

Rakyat bukan sahaja berfungsi membendung penularan wabak COVID-19, malah turut sama berganding bahu mengekang penyebaran berita palsu.

Portal Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan pautan sebenarnya.my bagi membantu rakyat mengesahkan berita diperoleh. Sebarang berita tidak tepat diklasifikasi palsu dan penyebaran berita ini wajar dihentikan segera terutama berkaitan program vaksinasi.

Rakyat juga disaran sekiranya menerima maklumat tidak ditentu sah yang membabitkan kepentingan awam mahupun negara, untuk menyalurkan maklumat itu melalui pautan sebenarnya.my.

Secara psikologi, pendedahan kepada maklumat positif berkaitan program vaksinasi secara langsung membentuk fungsi kognitif sedar yang mendorong kepada kesediaan tubuh untuk mengambil suntikan vaksin (dos Pertama, kedua atau dos penggalak).

Apabila tubuh bersedia secara langsung kesan sampingan suntikan vaksin dapat dikurangkan, namun jika rakyat terdedah dan membiarkan diri diserang maklumat negatif tentang program vaksinasi, maka fungsi kognitif sedar menolak segala tindakan untuk mengambil vaksin.

Hal ini menyulitkan usaha kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19 bagi melindungi seluruh lapisan rakyat daripada serangan wabak yang tiada sifat fizikal.

Maka, rakyat berperanan amat penting untuk bersama pihak berkuasa berganding bahu, bekerjasama dan sepakat untuk sama-sama memerangi wabak COVID-19.

Demi masa depan anak, demi keselamatan yang tersayang dan negara yang tercinta, bangkit rakyat Malaysia, bersatu hati memerangi wabak COVID-19.

Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah

Thursday, May 9, 2013

PARTI KERAMAT BELA PERPADUAN, KEMAJUAN DAN KELESTARIAN UMAT, DULU, KINI, SELAMANYA…



Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM

PARTI KERAMAT BELA PERPADUAN, KEMAJUAN DAN KELESTARIAN UMAT, DULU, KINI, SELAMANYA…
Naib Canselor KUIM Telusur Sejarah Perjuangan dan Sumbangan UMNO

UMNO/ Barisan Nasional pada hari ini merupakan kesinambungan sejarah kewujudan UMNO tahun 1946 yang banyak membuktikan perjuangan mereka adalah untuk membela dan memperjuangkan nasib orang melayu sejak sebelum merdeka hingga ke saat ini.

Perjuangan UMNO turut memberi kesan positif kepada keamanan, kestabilan sosio-politik dan kemajuan ekonomi Malaysia pada hari ini.
Seluruh lapisan masyarakat pasti menyedari dan memahami peranan UMNO dalam membela bangsa melayu sebagai teras bangsa di Malaysia, namun tidak semua menyedari dan memahami akan perit getir, kesukaran dan rintangan yang dialami pemimpin-pemimpin negara dalam memastikan keamanan kestabilan negara, sosio-politik, perundangan dan ekonomi terpelihara.
Justeru itu, rencana ini akan menyelusuri perspektif Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus  Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim tentang sumbangan dan perjuangan UMNO peranan dari kanta dan sejarah penubuhan dan perkembangan UMNO.
SEJARAH PENUBUHAN UMNO: KEPERLUAN PERJUANGAN ORANG MELAYU

Sejarah penubuhan UMNO adalah rentetan daripada penentangan terhadap penubuhan Malayan Union oleh Sir Edward Ghent yang menggariskan beberapa ciri-ciri utama termaktub dalam Perlembagaan Malayan Union antaranya negeri-negeri melayu menjadi tanah jajahan British secara mutlak dengan istilah Malayan Union.

Di samping itu, penubuhan Malayan Union turut memperlihatkan kuasa raja-raja Melayu dikurangkan dan mandat tersebut diberikan kepada Gabenor British dan secara langsung orang Melayu hilang kuasa milikan sebagai penduduk asal dan pribumi tanah melayu.

Tidak berhenti di situ, British terus mengatur strategi untuk menakluk Tanah Melayu secara total melalui Perjanjian Malayan Union di mana, British mengambil bidang kuasa sepenuhnya daripada sembilan orang Raja-Raja Melayu dan ini bermakna Raja England akan berkuasa penuh ke atas negeri-negeri dalam Tanah Melayu.

Bertitik tolak dari peristiwa ini, semangat penentangan British membara di kalangan orang Melayu pada ketika itu dan membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR) atau UMNO (1946) melalui Kongres Melayu SeMalaya dan merupakan parti ulung orang Melayu dipengerusikan oleh Dato’ Onn Jaafar.


PERJUANGAN UMNO DEMI TANAH TUMPAH DARAH & KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU

Kebangkitan orang Melayu melalui UMNO melakar sejarah penting negara apabila berjaya menggagalkan usaha pihak British mengubah taraf Negeri-Negeri Melayu yang bernaung (protectoriate) kepada tanah jajahan British (colony). Ini jelas, perjuangan UMNO dalam mempertahankan kedaulatan tanahair untuk keamanan bukan sahaja untuk keluarga mereka pada ketika itu, malah untuk generasi pada hari ini.

Perjuangan UMNO turut jelas menyatakan perlembagaan yang menyentuh masa depan orang Melayu dan Tanah Melayu hendaklah digubal dengan mendapat pandangan dan persetujuan orang Melayu terlebih dahulu dan bukannya mengikut acuan budaya British.

Di samping memperjuangkan hak undang-undang orang Melayu, UMNO turut mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang semakin terhakis kuasanya kerana Malayan Union. Ketika pembentangan Perlembagaan Malayan Union, Raja-Raja Melayu tidak diberi peluang membaca kandungan perlembagaan tersebut kerana kehilangan kuasa, secara langsung Raja-Raja Melayu juga tidak mungkin mampu mempertahankan hak orang Melayu.

Kelicikan British untuk mengusir orang Melayu dihidu UMNO, justeru itu, UMNO bersama 107 orang wakil daripada 41 persatuan bangkit menentang dan mengusir pihak British yang rakus ingin menguasai Tanah Melayu.

Akhirnya, perjuangan, usaha dan keringat serta bakti UMNO membuah kejayaan besar untuk orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Tanah Melayu serta kemanisan perjuangan UMNO turut dinikmati oleh generasi pada hari ini.


UMNO: BELA NASIB KAUM MELAYU

UMNO parti keramat ini telah membela hak-hak keistimewaan orang melayu dan meneruskan ketuanan melayu dengan cara menubuhkan satu organisasi yang memperjuangkan nasib orang melayu. Nasib orang melayu telah dipulangkan pada tahun 1948 di mana raja-raja melayu telah dikembalikan kuasa dan orang melayu dikembalikan kerakyatan dan menjadi rakyat kepada duli-duli raja melayu ini.

Melalui sebuah gagasan yang ingin memerdekakan tanah melayu dengan kerjasama Parti Perikatan UMNO (wakil kaum melayu), MCA (wakil kaum cina) dan MIC (wakil kaum India) satu transformasi politik terjadi dan munculnya Kebijaksaan Politik (Politics Wisdom) yang diambil oleh pemimpin politik terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan bekerjasama dengan kaum lain untuk mendapatkan kemerdekaan.

Dengan kegigihan UMNO/ Perikatan dengan kerjasama kaum lain perjuangan menuntut kemerdekaan terhasil apabila UMNO/ Perikatan mendapat kejayaan besar dalam pilihanraya 1955 yang menyebabkan British terpaksa akur dengan tuntutan UMNO  dan akhirnya tanah melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Tanah Melayu/ Malaysia jauh lebih maju berbanding dengan negara-negara lain yang mendapat kemerdekaan pada tahun yang sama seperti Ghana. Selain itu, melalui UMNO dan Perikatan banyak perkara berkaitan ketuanan melayu telah dirakamkan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Agama Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu, Institusi Raja-raja sebagai institusi check and balance terutama melalui Majlis raja-raja melayu artikal 38 Perlembagaan Persekutuan tanah melayu.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN & KAUM MELAYU

UMNO juga merupakan parti yang mencetuskan artikel 152 berhubung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dan artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan di mana Bahasa Melayu dan Agama Islam menjadi sebahagian komponen pengertian istilah Melayu di Malaysia.

Begitu juga dengan perkara 153 berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. 

Parti Keramat UMNO lah yang memperjuangkan hak kedudukan orang melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak dengan menjadikan Melayu pemegang kuasa dan induk kepada pemerintahan dan kerajaan yang mencetuskan kepada istilah Ketuanan Melayu dan menjadi tanggungjawab YDPA untuk memastikan perkara 153 ini dilaksanakan. 

Jadi dilihat secara keseluruhan terbentuknya sebuah perlembagaan adalah merujuk kepada sejarah dan tradisi bangsa yang diwarisi beratus-ratus tahun sehingga taraf raja-raja Melayu juga bertukar daripada identitinya sebagai raja mutlak menjadi raja berperlembagaan yang dikawal oleh perlembagaan dan juga hak-hak yang dihadkan oleh perlembagaan. 

Sehingga kini UMNO terus mengembangkan sayap untuk membina bangsa melayu sebagai teras bangsa dan penduduk asal negara ini.

UMNO MEMPERJUANGKAN SYARIAT ISLAM

Menurut Dr. Mohd Yusoff juga, di bawah pemerintahan UMNO juga, Islam telah direalisasi dengan pelbagai kaedah dengan penubuhan Majlis Agama Islam negeri-negeri, Bank Islam, Institusi Pajak Gadai Ar-Rahnu yang berkonsepkan Islam, Institusi pendidikan yang berteraskan Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kolej Universiti, dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti Tilawah Al-Quran, pembinaan masjid-masjid, rancangan radio, program realiti berkonsep Islamik seperti program Imam Muda, Daie dan Ustazah Pilihan, Majlis wakaf dan Tahlil semuanya perjuangan yang ditegakkan oleh UMNO dan semangat perikatan/ Barisan Nasional untuk orang Islam.

Maka itu, dunia luar mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang bukan sahaja mempraktikan Islam dalam hal pentadbiran, malah sebuah negara Islam yang maju, berdaya saing dan berjaya.

Para sarjana undang-undang berkata sekiranya Malaysia akan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya sehingga 90 peratus undang-undang tersebut telah diadakan di Malaysia. 

Selain itu, kebanyakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini menggunakan dana awam dan tidak bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan malah Malaysia dianggap sebagai sebuah negara contoh dari segi kemajuannya di zaman moden ini. 

Kerajaan melalui UMNO telah melaburkan berjuta-juta ringgit untuk membela nasib orang melayu dari segi politik, ekonomi dan sosialnya. Di bawah pemerintahan UMNO/ Barisan Nasional turut telah membina program-program pembangunan ekonomi gergasi dengan membuka ladang getah, kelapa sawit serta institusi pembangunan seperti RISDA, FELDA, FELCRA dan sebagainya.

Malah dari segi pendidikan, kerajaan UMNO/ Barisan Nasional telah mendirikan berbagai-bagai sekolah, maktab pengajian dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan sebagainya

Kesimpulanya, kerjasama antara kaum dan kongsi kuasa antara UMNO, MCA dan MIC adalah untuk melahirkan masyarakat berpadu serta melalui persetujuan maka dapat melahirkan perlembagaan persekutuan sekarang ini.
Melalui Kontrak Sosial serta persatuan antara kaum maka rakyat dapat hidup makmur, aman dan pesat membangun di bawah Parti keramat UMNO/ Barisan Nasional. Perkara ini sesuai dengan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dan tidak extreme yang kini menjadi wawasan negara.

Kewujudan parti-parti lain seperti PAS, PKR dan DAP hanyalah sebuah parti serpihan dari institusi  politik yang membela nasib orang-orang melayu. UMNO telah Berjaya melestarikan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia. 

Maka, wajar rakyat Malaysia melihat kepada realiti pembangunan dan sumbangan yang telah diberikan serta memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional agar matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tercapai. 

Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit. Jangan Melayu mudah lupa tentang sumbangan dan peranan parti keramat UMNO yang telah memperjuangkan nasib melayu dan mempertahan hak melayu sejak dulu, kini dan selamanya.

Bangkitlah orang Melayu satu seruan, demi bangsa dimartabatkan, harapan negara tidak dipersiakan, perjuangan UMNO tidak sekali dipersiakan.

TOKOH TERBILANG: NAIB CANSELOR DIIKTIRAF TOKOH AKADEMIK ILMUAN ANTARABANGSA



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM

TOKOH TERBILANG: NAIB CANSELOR DIIKTIRAF TOKOH AKADEMIK ILMUAN ANTARABANGSA

Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim merupakan pakar dalam bidang sejarah terutama dalam skop ketamadunan manusia, kesultanan Melayu Melaka dan pembentukan Malaysia.

Sumbangan beliau dalam bidang akademik dan pengajian tinggi negara mewajarkan anak kelahiran Melaka ini menerima anugerah penghargaan akademik tertinggi yang membawa kepada gelaran Prof. Emeritus setelah 25 tahun berkhidmat di Universiti Malaya sejak 1973 hingga 2000.

Kesarjanaan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff terserlah melalui penulisan. Puluhan malah ratusan artikel dan penulisan beliau dibukukan serta dijilid sebagai bahan terbitan ilmiah. Aktif dalam menghasilkan artikel untuk pembentangan kertas kerja di peringkat nasional dan global turut membuktikan kecintaan beliau terhadap ilmu.

Beliau berpendapat, ilmu yang tidak dikongsi bersama adalah ilmu yang sia-sia, maka tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Melaka tahun 2012 ini sentiasa mencari ruang dan peluang untuk perkongsian ilmu dengan ilmuan antrabangsa seperti Moscow Russia, South Afrika, Indonesia seperti di aceh, Pelembang, Jambi dan Jakarta Sulawesi Selatan, Nepal, China dan Australia. 

TOKOH SEJARAH & SUMBER RUJUKAN KESAHIHAN FAKTA

Idea dan informasi terkini lahir dari kotak pemikiran luar biasa tokoh sejarah ini bukan sahaja menjadi rujukan di peringkat nasional, malah beliau turut dirujuk sebagai sumber untuk kesahihan fakta. Buktinya, buku pertama beliau yang telah diterbitkan oleh Hanuman Educational book pada tahun 1975 yang bertajuk Istilah Sejarah Melayu dari Perspektif Sastera dan Sejarah turut relevan sebagai rujukan hingga kini.

Di samping itu, penerima anugerah tertinggi akademik ini turut diundang selaku pakar sejarah dan tamadun Melayu Malaysia di Nusantara oleh stesyen television terkemuka iaitu Alhijrah Media Corporation (TV Al-Hijrah) untuk merujuk dan mendapatkan maklumat tentang kejatuhan Empayar Melayu Melaka melalui slot ‘500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Melaka.’

Menurut Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff kelemahan dan kejatuhan empayar Melayu Melaka adalah disebabkan oleh kelonggaran perpaduan dalam masyarakat Melayu. Kesannya anasir luar yang datang ke bumi Melaka mudah menakluk minda masyarakat Melayu pada masa itu.  

Selain itu, kejatuhan empayar Melayu Melaka disebabkan oleh kedatangan Portugis yang bersifat serampang dua mata, iaitu untuk berdagang dan menakluk negeri Melaka. Tambahan pula, Keadaan mudah kepada Portugis kerana kelonggaran perpaduan dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Ulasan beliau turut mendapat reaksi positif tokoh akademik di Malaysia.

Rentetan sesi bual bicara di Alhijrah Media Corporation beliau kemudiaanya diundang untuk membincangkan isu kewujudan Hang Tuah yang hangat diperkatakan pada ketika itu di Radio 24  Bernama melalui slot ‘Kerusi Panas.’

Perbincangan berlandaskan fakta akhirnya merungkai sejarah kewujudan Hang Tuah pada ketikan ituyang turut dipolitikan oleh golongan berkepentingan. 

Kepakaran Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff sebagai sumber rujukan yang sahih tidak hanya diiktiraf oleh media nasional, malah di peringkat global. Terdahulu, Korean Broadcasting System (KBS) yang bertempat di Busan datang ke KUIM untuk menemuramah Prof Emeritus Datuk Wira Dr, Mohd Yusoff mengenai Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut KBS Producer, Mr Lee Hae Seon, beliau mendapat maklumat tentang Prof Yusoff melalui sarjana-sarjana dari Eropah seperti England, Jepun, Portugal dan Belanda. 

Sarjana-sarjana tersebut telah mengesyorkan untuk menemu bual Prof. Yusoff untuk mendapat maklumat yang terperinci tentang Kesultanan Melayu Melaka kerana kepakaran beliau di bidang Sejarah dan Historiografi yang menjurus kepada sejarah Malaysia dan Nusantara dan ilmu filologi sejarah Melayu iaitu kajian mengenai manuskrip-manuskrip melayu, bahasa melayu dan sejarah Melayu.

TOKOH ILMUAN DAN PENULISAN BERKESAN

Bermula dengan tesis beliau bertajuk syair sultan maulana, Sejarah Kedah 1820-an yang telah diterbitkan oleh Penerbit UM serta dirasmikan oleh Sultan Agong Abdul Halim di istana Kedah Kuala Lumpur bersama Naib Canselor UM pada masa itu Prof. Diraja Ungku Aziz pada tahun 1980.
Seterusnya beliau turut memenangi anugerah Longman menerusi Tesis Doktor Falsafah (PhD) Terbaik Sastera dan Sains Sosial UM yang bertajuk Riwayat Terengganu Darul Iman yang turut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau yang merupakan seorang sejarawan yang pakar dalam penyelidikan dan penulisan pernah menjadi Karyawan Tamu sebanyak kali di Universiti Leiden dan School of Oriental African Studies (SOAS).

Selain itu beliau turut dilantik Prof. Pelawat di Universiti Brunei selama dua tahun iaitu pada tahun 1988 hingga 1990. Beliau yang aktif dalam bidang penyelidikan dan penulisan turut dilantik menjadi Chief Editor untuk jurnal-jurnal terbitan Jabatan Sejarah UM, Muzium Negara, Arkib Negara dan juga pakar rujuk kajian Malaysia USM.

PENGIKTIRAFAN PERINGKAT ANTARABANGSA 

Pengiktirafan berharga adalah apabila buku-buku hasil kajian beliau turut dirujuk oleh mahaguru yang pernah mendidik beliau, pakar luar dalam dan negara, para ilmuan dari peringkat golongan akademik sehingga Prof. Emeritus.

 Antara buku-buku yang telah dijadikan rujukan oleh ilmuan antarabangsa adalah Kesultanan Melayu Melaka, Sejarah Melayu Nusantara dan Diskusi Sejarah.

Penulisan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim turut diguna pakai oleh para ilmuan sejarah sebagai bahan rujukan dalam forum dan persidangan dari pelbagai peringkat. Antaranya Prof. Emeritus Dr. Ulrich Kartz dari School of Oriental African studies di London telah menyebut sekurang-kurangnya 11 kali nama Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim dalam pembentangan kertas kerjanya ketika Persidangan Antarabangsa Karya Agung Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah anjuran IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka pada 1 dan 2 November lalu.

Tokoh Filologi dari Universiti Lieden, Prof. Emeritus T. Iskandar yang menulis sebuah buku bertajuk Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad yang juga merupakan Mahaguru beliau turut merujuk buku beliau. Seorang lagi Mahaguru beliau iaitu Prof. Emeritus Dr. Leonard Andaya dari Universiti Hawai Manao yang menulis buku bertajuk ‘Leaf at the same tree’ turut merujuk buku Hikayat Siak Tradisi Sejarah Melayu Nusantara yang dikarang Prof. Emeritus Dr. Yusoff.

Selain itu, buku Sejarah Melayu dan Kesultanan Melayu Melaka turut dijadikan rujukan tokoh akademik Indonesia, Prof. Dr. Husni Tamrin dalam buku beliau Naskah Historis Politik dan Tradisi terbitan UINSUSKA, 2009.  

Disamping itu, Buku Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi istilah ‘Magnung Opus’ (Karya Agung) yang memasuki edisi kedua terbitan DBP serta rujukan wajib kepada semua pengkaji-pengkaji Malaysia dan Alam Melayu.

Antara buku-buku mutakhir yang berjaya dihasilkan di mana Prof. Emeritus Dr. Yusoff sebagai Ketua Editornya ialah Empayar Melaka tradisi Agung Melayu dan Panglima Awang terbitan PERZIM 2010. Kedua-dua buku ini menjadi rujukan utama oleh para penulis sejarah Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menggubal sukatan pelajaran baru yang diperkenalkan kelak.

Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff kini masih lagi aktif dalam penyelidikan dan penulisan. Terkini beliau menjadi Ketua Eksekutif Jawatankuasa Penyelidik dan Penerbitan Projek Mega Sejarah Nasional Malaysia yang akan diterbitkan Jabatan Sejarah UM, KUIM dan IKSEP di mana Penaung projek ini ialah Perdana Menteri Malaysia, YAB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Pengerusi Projek Mega ini ialah Ketua Menteri Melaka, YAB. Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff Projek Mega Sejarah Nasionali ini telah sedang dalam proses penyelidikan dan penulisan serta berstatus 80 peratus siap sebelum diterbitkan.

Justeru itu, jelas penglibatan dan sumbangan Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff dalam bidang sejarah tanahair cukup membanggakan dan mampu menjadi inspirasi golongan muda. Beliau berpendapat, ‘Subjek sejarah tidak seharusnya dilabel sebagai subjek yang membosankan, malah jika pendidik menggunakan pendekatan bijak dan kreatif subjek ini mampu menarik minat golongan muda. Zaman ini bukan lagi zaman ‘kertas dan pensil’ di mana pendekatan konvensional tidak lagi relevan terutama subjek sejarah,’ jelas beliau ketika diwawancara oleh RTM1 melalui slot Selamat Pagi 1 Malaysia.

Sebutir jauhari menyinar disegenap inci peremeter pendidikan. Wajar menerima pengiktirafan tertinggi melalui sumbangan. Beliau Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim tokoh terbilang sentiasa dikenang.

Projek Mega Penyelidikan Sejarah Malaysia NAIB CANSELOR KUIM KETUAI PAKAR RUJUK EKSEKUTIF



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan                 
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

Projek Mega Penyelidikan Sejarah Malaysia
NAIB CANSELOR KUIM KETUAI PAKAR RUJUK EKSEKUTIF

Kesarjanaan dan kepakarannya dalam bidang sejarah dan tamadun Melayu serantau melayakkan, Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif panel pakar rujuk Projek Mega Penyelidikan dan Penulisan Sejarah Nasional. 

Menurut Dr. Mohd Yusoff, idea penulisan sejarah Malaysia merupakan idea YAB Ketua Menteri Melaka dan mendapat sokongan mantap daripada sejarawan negara yang terdiri daripada profesor dan ahli akademik sejarah.

“Penulisan sejarah Malaysia ini bakal dijadikan bahan rujukan dan panduan kepada para pengkaji sejarah Malaysia agar sudut kajian mengikut susur galur fakta sejarah yang sewajarnya,” jelas Dr. Mohd Yusoff.

Penaung jawatankuasa ini ialah Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri sebagai Penaung bersama, manakala, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dilantik selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Projek Mega ini.

Setelah dua tahun pelaksanaan, projek mega ini berstatus 70 peratus siap dan kini, proses memperhalusi fakta dengan kerjasama sarjana antarabangsa iaitu England, Belanda, Portugal, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Filipina dan Thailand dilakukan.

Kandungan Projek Mega Sejarah Malaysia ini turut dibahas dan dibincangkan melalui sesi forum, seminar dan bengkel untuk mendapatkan maklumbalas mengenai fakta daripada pakar sejarah di samping, percambahan minda. 

Antara tajuk yang dibahaskan dalam projek penyelidikan dan penulisan ini ialah Malaysia Dalam Era Pra Sejarah, Kerajaan-kerajaan Awal dan Kuasa Pemerintahan Malaysia, Malaysia Menjelang Kehadiran Kuasa Kolonial Barat Seperti Portugal, Belanda, Jepun dan British.

Turut dimuatkan dalam penulisan ini Malaysia Dalam Era Anti Penjajahan, Peranan Agama Islam dan Sejarah Malaysia, Malaysia Dalam Era Kemerdekaan, Sejarah Pembangunan Malaysia Selepas 1957 dan Malaysia Dalam Arena Globalisasi.

Projek buku ini turut menjelaskan secara terperinci zaman Malaysia dalam era pra sejarah yang membincangkan perkara-perkara berkaitan arkeologi dari era zaman awal yang terdapat di negara ini serta kerajaan dan kuasa pemerintahan awal Malaysia.

Selain itu penulisan ini juga menerangkan mengenai tertubuhnya negara bangsa yang berdaulat dan melaksanakan pemerintahan sendiri berdasarkan konsep perkongsian kuasa antara perbagai kaum yang mana orang Melayu adalah sebagai pemegang tampuk pemerintahan kuasa. 

Projek penyelidikan dan penulisan ini membahaskan dengan terperinci sejarah pembangunan Malaysia selepas tahun 1957 dari segi pembangunan komuniti, fizikal, bandar dan luar bandar, pendidikan, ekonomi dan hubungan Malaysia di kalangan negara-negara Komanwel di mana Malaysia menjadi salah satu anggota Komanwel yang merdeka.

Selain itu menurut Dr. Mohd Yusoff, Malaysia dalam kesan globalisasi turut dimuatkan dalam penulisan ini yang membahaskan kedudukan Malaysia masa kini dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik.

Di samping itu, kandungan projek dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) ini turut menerokai kerjasama Malaysia dengan komuniti antarabangsa seperti dalam bidang ekonomi, dalam bidang negara-negara serantau seperti ASEAN, OIC dan keanggotaan Malaysia dalam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam konteks globalisasi.

Bagi melengkapkan projek penulisan ini satu penyelidikan dilaksanakan dalam dan luar negara dengan merujuk kepada kesan sejarah, artifak, dokumen-dokumen asli yang berbentuk perjanjian persetiaan dan surat menyurat rasmi dari pejabat tanah jajahan British yang banyak terdapat di London dan beberapa Negara yang lain.

Selain itu, para sarjana ini turut merujuk manuskrip-manuskrip Melayu yang bercorak sejarah dan warkah-warkah raja Melayu, kuasa-kuasa kolonial seperti Belanda, British dan Jepun. 

Sementara bagi era pendudukan Belanda di Malaysia para sarjana ini merujuk kepada laporan harian (Dagh Register) Laporan harian Syarikat India Timur Belanda di Malaysia dan Nusantara.

Projek penyelidikan serta penulisan ini turut melibatkan kerja-kerja lapangan dan perpustakaan yang dilaksanakan di seluruh Negara seperti Perpustakaan Negara, Perpustakaan Zon-zon di Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Muzium seperti Jabatan Muzium Malaysia, dan Muzium di Negeri-negeri.

Projek yang bernilai hampir RM8 juta ini dijangka siap sekitar tahun 2013 ini bakal dirasmikan Perdana Menteri Malaysia. Penulisan ini juga bakal menjadi rujukan semua peringkat pengajian di Negara ini.

Projek mega ini merupakan salah satu projek R&DICC KUIM yang mana KUIM berperanan sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang melaksanakan projek ini sehingga berjaya selain Jabatan sejarah Universiti Malaya (UM).