Friday, January 28, 2022

Portal KKM saluran peroleh maklumat sahih vaksinasi

Oleh Dr Mohd Sufiean Hassan - Januari 29, 2022 @ 11:00am

bhrencana@bh.com.my


KETIKA negara berdepan serangan wabak COVID-19, pelbagai usaha dirancang dan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan setiap peringkat rakyat dilindungi. 

Usaha kerajaan dalam memerangi wabak yang menyerang seluruh dunia ini wajar mendapat sokongan rakyat, kerana bumi dipijak ini adalah negara yang dicintai.

Pelbagai usaha dilaksanakan dari segi fizikal, sosial dan psikologi bagi memastikan rakyat menerima impak paling minimum walaupun banyak negara di luar sana yang rakyatnya sengsara kebuluran dan statistik kematian yang kian meningkat dek serangan wabak COVID-19.

Dalam usaha memastikan setiap rakyat mempunyai imuniti melawan serangan virus pembunuh ini, program vaksinasi yang awalnya menyasarkan imuniti kelompok, kemudian diperluaskan kepada semua peringkat umur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kini, kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang akan bermula 3 Februari depan.

Apa peranan rakyat bagi menyokong inisiatif ini? Dalam teknologi media hari ini, rakyat mempunyai akses luas kepada media dan sumber maklumat.

Dalam masa kurang seminit, pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber baik yang positif atau negatif pasti melintas pada skrin paparan telefon pintar.

Jadilah pengguna media yang bijak untuk menapis setiap maklumat berkaitan program vaksinasi, agar pembentukan struktur pengetahuan yang kukuh mampu mendorong tindakan yang sepatutnya.

Dapatkan maklumat sahih dan tepat melalui sumber yang wajar supaya kita tidak termasuk dalam kluster pengguna media yang menjadi mangsa kepada kecelaruan maklumat.

Kecelaruan maklumat adalah maklumat yang salah, iaitu maklumat palsu, mengelirukan, dimanipulasi dan direka bertujuan mencetuskan provokasi serta menimbulkan kebencian terhadap usaha kerajaan dalam program vaksinasi.

Maklumat berkaitan vaksinasi boleh diperoleh daripada portal KKM dan pengguna yang mempunyai keraguan tentang program vaksinasi boleh terus mengakses talian hotline bagi mendapatkan penjelasan daripada KKM secara terus.

Hari ini, pelaporan berita diterbitkan pelbagai portal sama ada rasmi atau tidak rasmi. Pengguna sering menjadi mangsa berita palsu apabila terdedah berita dilaporkan portal tidak rasmi.

Rakyat bukan sahaja berfungsi membendung penularan wabak COVID-19, malah turut sama berganding bahu mengekang penyebaran berita palsu.

Portal Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan pautan sebenarnya.my bagi membantu rakyat mengesahkan berita diperoleh. Sebarang berita tidak tepat diklasifikasi palsu dan penyebaran berita ini wajar dihentikan segera terutama berkaitan program vaksinasi.

Rakyat juga disaran sekiranya menerima maklumat tidak ditentu sah yang membabitkan kepentingan awam mahupun negara, untuk menyalurkan maklumat itu melalui pautan sebenarnya.my.

Secara psikologi, pendedahan kepada maklumat positif berkaitan program vaksinasi secara langsung membentuk fungsi kognitif sedar yang mendorong kepada kesediaan tubuh untuk mengambil suntikan vaksin (dos Pertama, kedua atau dos penggalak).

Apabila tubuh bersedia secara langsung kesan sampingan suntikan vaksin dapat dikurangkan, namun jika rakyat terdedah dan membiarkan diri diserang maklumat negatif tentang program vaksinasi, maka fungsi kognitif sedar menolak segala tindakan untuk mengambil vaksin.

Hal ini menyulitkan usaha kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19 bagi melindungi seluruh lapisan rakyat daripada serangan wabak yang tiada sifat fizikal.

Maka, rakyat berperanan amat penting untuk bersama pihak berkuasa berganding bahu, bekerjasama dan sepakat untuk sama-sama memerangi wabak COVID-19.

Demi masa depan anak, demi keselamatan yang tersayang dan negara yang tercinta, bangkit rakyat Malaysia, bersatu hati memerangi wabak COVID-19.

Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah