Thursday, May 9, 2013

Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu Sulalat Al-Salatin Dan Hikayat Hang Tuah PERSEPSI SEJARAWAN, NAIB CANSELOR KUIM Laksamana Hang Tuah Ikon Unggul Melayu – Satu Realiti



Oleh:
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam KUIM
Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu Sulalat Al-Salatin Dan Hikayat Hang Tuah
PERSEPSI SEJARAWAN, NAIB CANSELOR KUIM
Laksamana Hang Tuah Ikon Unggul Melayu – Satu Realiti

Sama ada namanya Tuah, Hang Tuah, Tun Tuah, Si Tuah, Kyai Tuah atau Laksamana Hang Tuah sudah menjadi kepastian realiti  kewujudan ikon wira masyarakat  Melayu ini kerap menjadi topik perbincangan masyarakat umum dan golongan akademik. Persoalan timbul menuntut penyelesaian yang disokong oleh fakta sahih; Hang Tuah: Di antara fakta atau fiksyen? Berikut adalah ulasan dapatan kajian oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Haji Hashim merangkap Naib Canselor, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Jika sebilangan masyarakat utuh menyatakan Hang Tuah merupakan watak ciptaan masyarakat Melayu dahulu kala dan cerita dongengan, namun Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff Haji Hashim tetap dengan penderiannya bahawa wira Melayu kebanggaan masyarakat Melaka wujud dalam sejarah.
Melalui penulisan beliau Hang Tuah: Di antara Fakta dan Fiksyen, Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff memperincikan hujahan beliau dengan menyatakan sumber penceritaan Hang Tuah, iaitu Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah merupakan sumber jelas.

Selain itu, beliau turut menamakan beberapa pengkaji sejarah dan membincangkan dapatan kajian mereka tentang personaliti, nilai-nilai murni dan sejarah hidup Hang Tuah sebagai menyatakan kebenaran tentang kewujudan ikon Melayu ini.

Realiti Kajian Ahli Pengkaji Sejarah Antarabangsa tentang Kewujudan Wira Melayu: Hang Tuah

Sebut sahaja namanya yang gah, dari kumpulan si kecil hinggalah kumpulan dewasa, semuanya pasti mempunyai pengetahuan yang sama dan serupa, iaitu Hang Tuah sumber ilham rakyat yang menaruh sepenuh kesetiaan dan kepatuhannya kepada raja,  laksamana Hang Tuah adalah wira masyarakat Melayu Melaka dahulu kala dan gelaran sehingga kini, Hang Tuah wira sejati kepahlawanan Melayu.
Namun, sejauh manakah kebenaran akan kewujudan Hang Tuah ini? Adakah kewujudannya direka oleh masyarakat Melayu dahulu kala sebagai teladan kepada masyarakat Melayu untuk patuh kepada Raja? Di sini, segala persoalan akan dirungkai dengan sokongan dapatan kajian oleh para pengkaji sejarah tanahair dan antarabangsa.

Apa jua yang berkaitan tentang Hang Tuah; personaliti, kehidupan dan sumbangan beliau kepada masyarakat Melayu sering menjadi skop kajian para pengkaji sejarah, terutama Sejarah Melayu. Walaubagaimanapun, dapatan kajian  diungkap dalam pelbagai siri huraian seperti kreatif-deskriptif-dedaktif tentang perilaku dan watak Hang Tuah merupakan teknik penceritaan oleh budayawan negara, A. Samad Ahmad dalam karyanya Laksamana Tun Tuah.

Tidak kurang juga huraian dari sudut ideologi-politik yang meletakkan titik fokus hujahan bahawa Hang Tuah adalah sosialisme dan anti-feudalisme orang Melayu seperti yang diungkapkan oleh Kassim Ahmad dan penganalisis Moscow menerusi karya, ‘Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah.’

Sementara S.E Errington pula merungkai keperihalan Hang Tuah secara literal-antropologi; penceritaan ‘Hikayat Hang Tuah’ diimiginasikan mengikut suasana masyarakat Melayu dahulu kala.

Dari perimeter bidang Sastera, imej Hang Tuah dipolemik bukan sahaja sebagai watak sejarawan, malah turut dicereka watak ini daripada genre kreatif dengan kreativiti penulis sebagai manusia epik, lagenda dan manusiawi yang serba boleh, berani demi mempertahankan kedaulatan tanahair, kepahlawanan kental di medan peperangan dan kepatuhan serta taat setianya kepada raja.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, selain Hikayat Hang Tuah, sumber utama merujuk tentang realiti kewujudan wira Melayu ini adalah ‘Sejarah Melayu’ yang terkandung sebanyak 19 daripada 28 bab dalam teks ini tentang kehidupan Hang Tuah. 

Justeru itu, bukti-bukti yang dihujahkan menjelaskan bahawa Hang Tuah bukan sekadar watak mitos sejarah, malah realiti kewujudan ikon unggul Melayu.

Realiti Sejarah Hang Tuah 

Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, daripada teks ‘Sejarah Melayu,’ pelayaran mengenai sejarah Hang Tuah membawa kepada riwayat hidup Hang Tuah kerana keberaniannya dan kegagahannya sehingga menjadi seorang pahlawan Melayu yang tersohor. Ditambah pula dengan nilai keperibadian yang taat setia kepada raja yang tiada tolok bandingnya, menjadikan Hang Tuah kian mahsyur menjadi bualan dari generasi ke generasi.

Namun, perbincangan dan pertikaian tentang kewujudan Hang Tuah berasaskan penulisan oleh penulis sejarah yang hanya mengimiginasikan suasana mengikut logik akal tanpa merujuk sumber-sumber sahih. Seorang pemikir Greek berkata, “ untuk memahami peristiwa masa kini, kita perlu mengenali dan memahami kejadian lampau.”

Dan itulah malangnya yang terjadi ke atas Hang Tuah serta raja Melaka yang ditaatinya. Mereka adalah mangsa andaian mengikut logik akal yang kononnya sumber ilmiah. Maka, muncul pendapat menyatakan watak, sifat dan perilaku Hang Tuah mentaati raja adalah membuta tuli, kesetiaan membabi buta, pahlawan yang menjengkelkan dan sebagainya.
Disebabkan kecetekan akal dan ketiadaan sumber yang sahih rumours ini terus tersebar dan lebih mengecewakan lagi, pendapat ini turut disokong oleh golongan akademik. Inilah isu, di mana pertikaian dan persoalan kewujudan Hang Tuah ini bermula sehingga kini.

Jika dikaji dengan lebih mendalam nilai perilaku Hang Tuah yang sentiasa taat dan setia kepada raja dan memberi sepenuh tenaga, usaha dan keberanian demi mempertahankan institusi raja, maka Hang Tuah jauh lagi matang daripada pemikir yang mendakwa Hang Tuah pahlawan membuta tuli. 

Ini kerana penubuhan sesebuah negara terdiri daripada tiga elemen; kerajaan, tanah atau kawasan dan kedaulatan. Istilah kerajaan itu berpunca dari perkataan ‘raja,’ maka wujudnya raja, wujudlah kerajaan.  

Ironinya, kedaulatan diperolehi daripada kuasa raja. Tanah penempatan  di mana raja mendirikan kerajaannya, lokasi yang strategik dengan mengambil kira kesuburan kawasan, mempunyai nilai ekonomi, membina protokol dan pantang larang serta memiliki unsur tuah. 

Aspek ini membantu membina karisma seorang raja. Barulah daulatnya (sovereignity) berdiri. Maka bersahutlah rakyat, ‘daulat tuanku’! (Hail your sovereign). Berdaulat raja (yang memerintah) bermakna berdaulatlah kerajaan dan seluruh negerinya. Berdaulatlah kerajaan (kesultanan) Melaka apabila wujud raja-rajanya (yang diiktiraf rakyat).

Perbandingan Penceritaan ‘Sejarah Melayu’ dengan ‘Hikayat Hang Tuah’ 

Kajian Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff mendapati dua buah teks ini berbeza genrenya. Teks Sejarah Melayu lebih fokus kepada penceritaan dengan fakta sejarah, manakala penceritaan Hikayat Hang Tuah berlandaskan Roman Melayu-Jawa, sebuah epik dan lagenda Melayu, watak Hang Tuah diceritakan sebagai wira Melayu-Jawa kerana banyak unsur sastera panji Jawa diterapkan di dalam teks ini.

Di samping itu, Hikayat Hang Tuah turut menyorotkan satu tokoh dan watak Hang Tuah berlatar belakang zaman Kesultanan Melayu Melaka dan nama-nama yang dinyatakan sebagai penguat naratif hikayat ini kebetulan pernah wujud di Melaka abad ke-15 seperti Palembang, Inderpura, Temasik, China, Turki, Rom dan sebagainya serta perihal naratif ini lebih tertumpu kepada penceritaan kegiatan manusia pada ketika itu. 

Sejarah Melayu mempunyai rangka masa (time frame) yang jelas iaitu bermula dengan zaman Pra-Melaka, tahun 1400 seperti zaman purba Raja Iskandar Dzulkarnain, zaman Palembang (srivijaya)diikuti Zaman Bentan dan Singapura. Zaman Kesultanan Melaka bermula dari tahun 1400 sehinggalah 1511 dan zaman pasca-1511, iaitu zaman Kampar dan Johor sehingga tahun 1512, apabila teks ini dicipta. Manakala Hikayat Hang Tuah tidak jelas rangka masanya. Hang Tuah dikatakan hidup sepanjang zaman Kesultanan Melaka dan ‘Ghaib’ selepas Melaka ditakluki Portugis malah menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff susunan Kronologinya dalam rangka masanya  tidak tersusun dan kelam kabut.

Tokoh-tokoh yang disebut di dalam Sejarah Melayu (terutama selepas cetera ke 10) merupakan manusia biasa yang hidup dalam sejarah yang boleh diterima akal. Tetapi tokoh dan pelaku utama di dalam Hikayat Hang Tuah didapati melampaui batas kemampuan manusia biasa  (super-human) sehinggakan sukar bagi kita untuk menerima dan mempercayai kebolehan tokoh ini.

Karya Hikayat Hang Tuah dikarang sekitar tahun 1641 – 1726 iaitu setelah penaklukan Belanda ke atas Melaka dan memberi kesan yang mendalam di kalangan masyarakat Melayu dengan tokohnya Hang Tuah. Pengarangnya telah mencorak watak Hang Tuah dan kebolehannya yang luar biasa sehingga menyebabkan ada kalangan masyarakat berpendapat Hang Tuah suatu dongengan. Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff yang juga seorang sejarawan turut menegaskan persepsi sejarah yang keliru harus diperbetulkan.

No comments :

Post a Comment