Thursday, May 9, 2013

Projek Mega Penyelidikan Sejarah Malaysia NAIB CANSELOR KUIM KETUAI PAKAR RUJUK EKSEKUTIF



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan                 
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

Projek Mega Penyelidikan Sejarah Malaysia
NAIB CANSELOR KUIM KETUAI PAKAR RUJUK EKSEKUTIF

Kesarjanaan dan kepakarannya dalam bidang sejarah dan tamadun Melayu serantau melayakkan, Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif panel pakar rujuk Projek Mega Penyelidikan dan Penulisan Sejarah Nasional. 

Menurut Dr. Mohd Yusoff, idea penulisan sejarah Malaysia merupakan idea YAB Ketua Menteri Melaka dan mendapat sokongan mantap daripada sejarawan negara yang terdiri daripada profesor dan ahli akademik sejarah.

“Penulisan sejarah Malaysia ini bakal dijadikan bahan rujukan dan panduan kepada para pengkaji sejarah Malaysia agar sudut kajian mengikut susur galur fakta sejarah yang sewajarnya,” jelas Dr. Mohd Yusoff.

Penaung jawatankuasa ini ialah Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri sebagai Penaung bersama, manakala, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dilantik selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Projek Mega ini.

Setelah dua tahun pelaksanaan, projek mega ini berstatus 70 peratus siap dan kini, proses memperhalusi fakta dengan kerjasama sarjana antarabangsa iaitu England, Belanda, Portugal, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Filipina dan Thailand dilakukan.

Kandungan Projek Mega Sejarah Malaysia ini turut dibahas dan dibincangkan melalui sesi forum, seminar dan bengkel untuk mendapatkan maklumbalas mengenai fakta daripada pakar sejarah di samping, percambahan minda. 

Antara tajuk yang dibahaskan dalam projek penyelidikan dan penulisan ini ialah Malaysia Dalam Era Pra Sejarah, Kerajaan-kerajaan Awal dan Kuasa Pemerintahan Malaysia, Malaysia Menjelang Kehadiran Kuasa Kolonial Barat Seperti Portugal, Belanda, Jepun dan British.

Turut dimuatkan dalam penulisan ini Malaysia Dalam Era Anti Penjajahan, Peranan Agama Islam dan Sejarah Malaysia, Malaysia Dalam Era Kemerdekaan, Sejarah Pembangunan Malaysia Selepas 1957 dan Malaysia Dalam Arena Globalisasi.

Projek buku ini turut menjelaskan secara terperinci zaman Malaysia dalam era pra sejarah yang membincangkan perkara-perkara berkaitan arkeologi dari era zaman awal yang terdapat di negara ini serta kerajaan dan kuasa pemerintahan awal Malaysia.

Selain itu penulisan ini juga menerangkan mengenai tertubuhnya negara bangsa yang berdaulat dan melaksanakan pemerintahan sendiri berdasarkan konsep perkongsian kuasa antara perbagai kaum yang mana orang Melayu adalah sebagai pemegang tampuk pemerintahan kuasa. 

Projek penyelidikan dan penulisan ini membahaskan dengan terperinci sejarah pembangunan Malaysia selepas tahun 1957 dari segi pembangunan komuniti, fizikal, bandar dan luar bandar, pendidikan, ekonomi dan hubungan Malaysia di kalangan negara-negara Komanwel di mana Malaysia menjadi salah satu anggota Komanwel yang merdeka.

Selain itu menurut Dr. Mohd Yusoff, Malaysia dalam kesan globalisasi turut dimuatkan dalam penulisan ini yang membahaskan kedudukan Malaysia masa kini dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik.

Di samping itu, kandungan projek dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) ini turut menerokai kerjasama Malaysia dengan komuniti antarabangsa seperti dalam bidang ekonomi, dalam bidang negara-negara serantau seperti ASEAN, OIC dan keanggotaan Malaysia dalam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam konteks globalisasi.

Bagi melengkapkan projek penulisan ini satu penyelidikan dilaksanakan dalam dan luar negara dengan merujuk kepada kesan sejarah, artifak, dokumen-dokumen asli yang berbentuk perjanjian persetiaan dan surat menyurat rasmi dari pejabat tanah jajahan British yang banyak terdapat di London dan beberapa Negara yang lain.

Selain itu, para sarjana ini turut merujuk manuskrip-manuskrip Melayu yang bercorak sejarah dan warkah-warkah raja Melayu, kuasa-kuasa kolonial seperti Belanda, British dan Jepun. 

Sementara bagi era pendudukan Belanda di Malaysia para sarjana ini merujuk kepada laporan harian (Dagh Register) Laporan harian Syarikat India Timur Belanda di Malaysia dan Nusantara.

Projek penyelidikan serta penulisan ini turut melibatkan kerja-kerja lapangan dan perpustakaan yang dilaksanakan di seluruh Negara seperti Perpustakaan Negara, Perpustakaan Zon-zon di Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Muzium seperti Jabatan Muzium Malaysia, dan Muzium di Negeri-negeri.

Projek yang bernilai hampir RM8 juta ini dijangka siap sekitar tahun 2013 ini bakal dirasmikan Perdana Menteri Malaysia. Penulisan ini juga bakal menjadi rujukan semua peringkat pengajian di Negara ini.

Projek mega ini merupakan salah satu projek R&DICC KUIM yang mana KUIM berperanan sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang melaksanakan projek ini sehingga berjaya selain Jabatan sejarah Universiti Malaya (UM).

No comments :

Post a Comment