Wednesday, May 8, 2013

“Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia”: NAIB CANSELOR KUIM MERUNGKAI SLOGAN DAN REALITINYA



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

“Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia”:
NAIB CANSELOR KUIM MERUNGKAI SLOGAN DAN REALITINYA


“Sebelum ini Melaka telah mewujudkan slogan-slogan khusus untuk tujuan pelancongan umpamanya kepimpinan yang lalu menggunakan slogan MELAKALAH DIMANA SEGALA-GALANYA BERMULA. Jika di lihat dalam sejarah Malaysia, Melaka merupakan negeri tertua dan fakta ini mewajarkan dikatakan disitulah (Melaka) segala-galanya bermula. Dengan slogan ini telah menarik peminat-peminat luar Negara untuk melawat Melaka dan boleh menaikkan bilangan pelancong dalam pelbagai sektor.
“Kemudian slogan MELAWAT MELAKA BERSEJARAH, BERERTI MELAWAT MALAYSIA yang kedua ini lebih memantapkan lagi slogan pertama dengan istilah kunci kata BERSEJARAH. Apa yang dimaksudkan bersejarah di sini ialah di Melakalah segala-galanya bermula seperti Institusi Raja-Raja yang ada sekarang bermula dari Melaka, Sistem Undang-undang, Bahasa, Agama dan Hak-hak Bumiputera.” kata Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim.
Beliau yang tidak asing di kalangan sejarawan-sejarawan dalam dan luar Negara serta aktif dalam penghasilan bahan-bahan ilmiah, menyifatkan Slogan ini lebih menambahkan lagi kefahaman tentang slogan yang pertama dengan menggunakan sejarah sebagai satu pendekatan untuk mempertingkatkan pelbagai sektor yang terdapat di Melaka seperti Pelancongan Pendidikan, Pelancongan Sejarah, Pelancongan Perubatan, Pelancongan Kebudayaan, Pelancongan Makanan dan Ekonomi, sebagainya.
SEKTOR PENDIDIKAN
Sektor pendidikan merupakan satu sektor yang amat penting untuk perkembangan Negara hari ini.
Menurut Mohd Yusoff, jika dilihat dari sudut sejarahnya Melaka merupakan negeri yang pertama sekali mencetuskan dan melahirkan sistem pendidikan formal dan tidak formal. Formal di sini bermaksud pengajian dan pembelajaran yang berteraskan madrasah dan sistem interak iaitu antara guru dengan murid.
Sistem ini dilaksanakan di masjid-masjid seperti Masjid Raya malah sumber luar seperti sumber portugis juga menyebut bahawa raja-raja Melaka yang beragama islam itu merupakan penganut agama islam yang amat kukuh dan hebat sehingga dikatakan bahawa Sultan Alaudin itu bukan sahaja merupakan sultan malah baginda memberikan perhatian yang amat mendalam tentang pengajian agama dengan menggalakkan para ulama untuk datang ke Melaka menyebarkan ilmu-ilmu ukhrawi.
Antara ulama-ulama terkenal yang datang ke Melaka pada masa itu ialah Maulana Jalaludin, Syed Abdul Aziz, Kadi Yusof, Kadi Munawar, dan sebagainya. Sistem ini didapati diamalkan oleh negeri-negeri melayu sebelum kedatangan barat, seperti sistem Madrasah telah diajarkan oleh guru-guru agama di peringkat kampung juga diperingkat daerah dan akhirnya sistem ini berkembang menjadi sekolah pondok yang amat popular di Melaka dan negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan di Johor.
Program sekolah pondok ini akhirnya berkembang menjadi program tetap sekolah agama yang dilaksanakan bersama-sama dengan sekolah melayu. Program agama ini turut diberi pengiktirafan dengan sijil asas pengajian agama.
Berpunca dari pengajian inilah lahirnya para ulama yang terkenal di Malaysia yang mendapat pendidikan sekolah pondok dan ulama-ulama ini bukan sahaja menjadi pegawai-pegawai kerajaan, penjawat awam malah pendakwah bebas. Perkara ini telah bermula sejak era Melaka lagi.
Pendidikan yang bercorak duniawi seperti seni mempertahankan diri dilihat telah wujud di zaman Melaka lagi. Seni ini nampak ditonjolkan oleh buku sejarah melayu ketika berlakunya peperangan antara hulubalang-hulubalang Melaka dengan Portugis.
Pahlawan Melayu pada ketika itu menggunakan alat-alat tradisional seperti keris, lembing dan sebagainya untuk menentang musuh walaupun sebenarnya Melaka pada masa itu telah ada senjata seperti meriam, lela, pentaka, pemburas dan sebagainya namun persenjataan Portugis jauh lebih canggih dan lebih hebat pada masa itu.
Perkara ini telah menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada kita hari ini terutamanya orang melayu untuk mempelajari  kepada bidang sains dan teknologi untuk menyamai tamadun-tamadun besar dunia dari barat, Amerika dan sebagainya serta mendalami ilmu sains dan teknologi bukan sahaja ilmu persenjataan malah teknologi mobile, angkasa, pengangkutan supaya setaraf dan setanding teknologi-teknologi barat.
BIDANG EKONOMI
Dari segi Ekonomi Melaka juga telah memulakan satu tradisi ekonomi yang berteraskan kelautan/ Maritime. Pada zaman melayu melaka masyarakat melayu terbuka kepada sistem perniagaan bebas jadi pedagang-pedagang melayu boleh berdagang ke mana sahaja sehingga ada di antara mereka yang telah sampai ke Sri Lanka dan Madagaskar.
Walaubagaimanapun sistem ini telah diatasi oleh sistem Portugis dan juga sistem Belanda dimana pedagang bukan lagi bercorak bebas tetapi bercorak monopoli menyebabkan masyarakat melayu terpaksa berundur kebelakang dan menjadi pedagang kecil-kecilan. Walaupun secara besar-besaran pembesar-pembesar melayu termasuk sultan-sultannya berniaga tetapi dengan cara proxi.
Umpamanya sultan Melaka telah berniaga dengan menggunakan nakhoda-nakhoda sampai ke India, China dan Jepun. Sistem Maritime ini diwarisi oleh Malaysia terutama dalam bentuk perkapalan sehingga tertubuhnya Malaysian International Shipping Corporation (MISC) Berhad yang berteraskan kelautan.
Selain itu, istilah-istilah seperti laksamana, Nakhoda, Jurumudi, shahbandar yang digunakan hari ini adalah dimulakan oleh Melaka dan kesan-kesan sejarah ekonomi masih terdapat di Melaka pada hari ini umpamanya ada Jeti Shahbandar, Kapal Flor De Lamar milik Portugis dan kerajaan Melaka hari ini akan membina sebuah kapal melayu besar yang bernama Mendam Berahi. Kapal ini pernah digunakan oleh laksamana Hang Tuah sewaktu membawa Sultan Mansor Shah berkahwin dengan Puteri Majapahit Radin Galuh Cendera Kirana.
BIDANG PERUBATAN
Dari segi perubatan, Melaka juga telah memulakan sistem perubatan tradisional dengan terdapatnya bahan-bahan mentah daripada timur tengah dan juga India. Bahan-bahan mentah seperti Kayu gaharu, cendana, cengkih, herba-herba yang sekarang terkenal dipasaran sebagai bahan-bahan organik bukanlah suatu yang baru malah ianya telah ada di zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi di mana bahan-bahan ini menjadi perencah kepada bahan makanan, perubatan dan juga untuk kesihatan.
BIDANG MAKANAN
Menurut Mohd Yusoff, Melaka juga kaya dengan makanan yang diwarisi daripada Palembang. Di Palembang dikenali sebagai Masak Asam Melayu Palembang dan di Melaka dikenali sebagai Masak Asam Melaka. Makanan ini sekarang sangat popular oleh restoran Melayu bukan sahaja di Melaka malah diwarisi oleh negeri-negeri lain seluruh Malaysia sampai ke Sabah Sarawak ada restoran Masak Asam.
ILMU PERTAHANAN PERANG
Juga seperti ilmu batin, ilmu ini telah diajar di negeri Melaka kemudian diwarisi ke negeri-negeri melayu yang lain. Berbagai jenis ilmu mempertahankan diri dan ilmu persilatan melayu telah bermula dari Melaka. Ilmu persilatan mula yang diperkenalkan oleh pelbagai suku melayu dan Jawa seperti ilmu silat jawa, silat indragiri, silat bugis, silat suku bertam, serapong, seletar dan juga suku buru. Ilmu persilatan ini berkembang hingga ke hari ini. Kini telah wujud pelbagai lagi jenis silat seperti silat patani, silat sendeng, silat cekak dan sebagainya.
BIDANG KESENIAN
“Melaka memulakan kesenian bermain catur, lumba perahu dan juga main layang-layang/ wau. Selain itu Anak-anak raja dan bangsawan Melaka juga gemar menunggang kuda yang hari ini terkenal dengan sukan Equestrian. Selain itu permainan sepak raga atau lebih dikenali sebagai Sepak Takraw hari ini telah dimulakan di Melaka pada era kesultanan Melaka lagi. Sukan-sukan dan permainan ini telah diwarisi oleh Malaysia hingga ke hari ini menjadi bahan komersial.” Jelas Mohd Yusoff.
MELAKA BANDAR KOSMOPOLITAN
Pakar sejarah ini turut menyifatkan Melaka merupakan sebuah Bandar Kosmopolitan. Di mana ia di diami pelbagai bangsa di mana terasnya ialah Bangsa Melayu. Walaupun terdapat orang Cina Peranakan, Kujerat, Tamil, Arab, dan Portugis mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Ciri Kosmopolitan ini menjadi teras kepada perpaduan negeri di mana pelbagai bangsa ini boleh hidup bersama secara perpaduan. Oleh sebab itu banyaklah masjid di Melaka umpamanya Masjid Kampung Keling di  Jalan Harmoni, Melaka di mana bersebelahan dengan kuil hindu dan kuil cina. Ini adalah lambang kepada keharmonian dan perpaduan dan kehidupan masyarakat Malaysia.
Menurut Mohd Yusoff, Melaka memberikan contoh dan teras serta asal usulnya diwarisi oleh masyarakat Malaysia hari ini iaitu masyarakat Kosmopolitan dan heteriogenous yang terdiri daripada pelbagai suku bangsa dan suku. Umpamanya melayu adalah teras tetapi dalam teras itu terdapat suku-suku melayu seperti Suku Bugis, Suku Minangkabau, Suku Batak , Suku Mendeling dan sebagainya.
Hari ini terdapat pelbagai persatuan terdiri dari suku melayu seperti persatuan anak bugis, anak jawa di Selangor, Persatuan Anak Bugis di Johor, Persatuan Anak Acheh di kedah, Anak Minangkabau di Negeri Sembilan dan sebagainya.
Di Melakalah ciri ini sudah ada dan mereka merujuk kepada sultannya yang utama pada masa itu yang menjadi pelindung kepada suku-suku bangsa ini. Ini diwarisi hingga ke hari ini di mana raja-raja melayu adalah raja bukan sahaja kepada orang melayu malah kepada bukan bumiputera seperti orang cina, india, portugis dan sebagainya dilindungi oleh raja-raja melayu dan ini tercatat dalam artikal 153 tentang hak bumiputera dan orang melayu serta hak-hak kaum-kaum lain tetapi mestilah halal hak itu.
Kesimpulannya Melaka merupakan sebuah Negeri Bandar Kosmopolitan yang mempunyai pelbagai sektor dan bidang sejarah dari segi pendidikan, perubatan, kesenian, ekonomi dan sebagainya maka tepatlah slogan yang digunakan kerajaan negeri iaitu MELAWAT MELAKA BERSEJARAH BERERTI MELAWAT MALAYSIA.

No comments :

Post a Comment