Thursday, May 9, 2013

INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU MALAYSIA NAIB CANSELOR KUIM MENDEKATI PERLEMBAGAAN NEGARA DARI KANTA SEJARAH DAN WARISAN BANGSA

Oleh: 
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

INSTITUSI RAJA-RAJA  MELAYU  MALAYSIA
NAIB CANSELOR KUIM MENDEKATI PERLEMBAGAAN NEGARA DARI KANTA SEJARAH DAN WARISAN BANGSA


Daulat Tuanku… Daulat Tuanku…Daulat Tuanku…

Institusi Raja-Raja Melayu  pada hari ini merupakan kesinambungan sejarah dan warisan  tamadun bangsa. Kajian ilmiah membuktikan institusi raja-raja atau sistem pemerintahan monarki telah wujud di tamadun awal manusia dan ini menjelaskan sistem pemerintahan beraja yang diasaskan turut memberi kesan positif kepada kestabilan sosio-politik dan kemajuan ekonomi sesebuah kerajaan yang berdaulat.
Umum mengetahui realiti peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan juga pelengkap kepada sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada Badan Perundangan (Legislative), Badan Pemerintah (Executive) dan Badan Kehakiman (Judicial).
Tiga buah badan utama sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia dan dua daripadanya (Badan Perundangan dan Badan Pemerintah) menuntut kuasa Institusi Raja Melayu  untuk memutuskan setiap cadangan yang diusulkan. Dalam badan perundangan, Sultan / Raja bertindak sebagai Ketua Agama Islam yang menegakkan syariat Islam (rujuk surah an-nisa’ ayat 59).

Seluruh lapisan masyarakat pasti menyedari dan memahami peranan Institusi Raja-Raja  Melayu  di Malaysia, namun tidak semua menyedari dan memahami akan kepentingan institusi raja-raja  Melayu dalam memastikan kestabilan negara, sosio-politik, perundangan dan ekonomi terpelihara.

Justeru itu, rencana ini akan menerokai perspektif Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus  Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim tentang sumbangan dan peranan Institusi Raja-Raja  Melayu  dalam Perlembagaan Negara dari kanta dan sejarah warisan bangsa.
Beliau yang juga sejarawan tanah air turut berpendapat fakta kepentingan institusi raja-raja  Melayu  dalam memastikan kestabilan negara, sosio-politik, perundangan dan ekonomi perlu diperhebahkan agar umum jelas peranan Institusi Raja-Raja  Melayu  tidak terhad kepada perihal agama dan adat istiadat semata-mata.
Institusi Raja dan Tamadun Awal

Frasa Raja, Sultan  Melayu  atau Yang Dipertuan Negeri diwarisi dari era pra kesultanan lagi. Tawarikh Tanah  Melayu  bermula dengan wujudnya kerajaan-kerajaan  Melayu  di kawasan rantau Asia Tenggara seperti kerajaan  Melayu  Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah.
Selain daripada kerajaan di atas, terdapat beberapa kerajaan  Melayu  Tua seperti Kerajaan Gangga Negara di Perak, Kerajaan politi Melayu, Klang, Selangor,  Ujung tanah / Medini di Johor, Kerajaan Inderapura di Pahang, Kerajaan Tan Tan di Terengganu dan Kerajaan Chih-Tu di Kelantan.
Sistem pemerintahan Kerajaan  Melayu  Tua ini merupakan sistem pemerintahan tersusun dan diketuai oleh seorang raja. Selain kedudukan yang strategik, kestabilan sosio-politik melalui pentadbiran sistem beraja pada zaman ini menjadikan kerajaan  Melayu Tua sebagai pusat perdagangan yang penting. Menerusi kegiatan perdagangan yang maju dan pesat, kerajaan-kerajaan  Melayu  Tua muncul sebagai kerajaan yang kaya dan makmur.


Empayar Melaka dan Kesultanan  Melayu

Menurut Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim yang juga pakar dalam mengkaji kegemilangan Empayar Melaka dan Kesultanan  Melayu  berpendapat, Kesultanan  Melayu  Melaka merupakan sebuah Empayar Melayu  yang agung  sejak berabad lamanya dan di sini juga wujudnya kedaulatan Raja-Raja  Melayu .

Kesultanan  Melayu  Melaka merupakan institusi pemerintahan beraja atau Kerajaan  Melayu  Tradisional yang ulung di Tanah  Melayu. Kesultanan  Melayu  yang diwujudkan oleh Parameswara (Sultan Iskandar Shah) di Melaka menandakan permulaan sistem pemerintahan yang diwarisi turun-temurun oleh Raja-Raja  Melayu  yang memerintah negeri-negeri dan hingga ke hari ini, pewarisan takhta masih diamalkan.

Selain berjaya membuka sebuah kawasan yang dinamai Melaka, Sultan Iskandar Shah turut berjaya mewujudkan sistem pentadbiran yang tersusun dan cekap dan secara langsung Kesultanan  Melayu  Melaka telah diasaskan oleh Sultan Iskandar Shah selepas membuka Melaka pada tahun 1400.

Sistem pentadbiran Kerajaan Melaka dibentuk oleh anggota-anggota sebuah Majlis Tertinggi yang berperanan dan bertanggungjawab mentadbir kelangsungan sosio-politik dan ekonomi Melaka. Kedudukan selepas sultan dan Majlis Tertinggi, hierarki sistem pentadbiran Kesultanan  Melayu  diikuti dengan Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Penghulu Bendahari.

Selain kedudukan geografi yang  strategik, kestabilan sosio-politik dan pemerintahan yang sistematik turut menyumbang kepada kepesatan perdagangan di Selat Melaka. Secara langsung, sistem pentadbiran yang dibentuk oleh Sultan Iskandar Shah berjaya menjana ekonomi dan menjadikan Melaka negeri yang kaya dan makmur. Walaupun serangan Portugis ke atas Melaka (1511) menyaksikan empayar Melaka di tawan oleh kuasa Barat, namun, sistem Raja-Raja masih utuh diwarisi oleh kerajaan-kerajaan selepas kesultanan  Melayu  Melaka.

Ketika era zaman Kesultanan Melayu Melaka, peranan Sultan membuka kawasan jajahan dan memberi kedaulatan kepada tanah sempadan bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat jelata, malah kebijaksanaan Sultan memilih kawasan yang strategik turut membuka peluang perdagangan serantau benua.

Kerajaan  Melayu  selepas Kesultanan Melaka: British akur Sistem Monarki

Selepas kejatuhan empayar Melaka (1511) dan kemangkatan Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka ke-8), putera baginda, Raja Ali menyambung perjuangan Sultan Mahmud Shah untuk menawan kembali Melaka dan mengasaskan Kerajaan  Melayu  Johor. Walaupun diserang kuasa Barat, keutuhan sistem Raja sebagai ketua negeri masih dilaksanakan.


Sistem pemerintahan monarki diteruskan oleh kerajaan-kerajaan  Melayu  Lama seperti Kerajaan Johor Tua, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor wujud pada  sekitar abad ke-17, ke-18 dan ke-19. Apabila tertubuh empayar Johor Riau, Johor Riau Lingga, Pahang dan sehingga kedatangan Belanda, ketuanan  Melayu  terus kekal dan tampuk puncak kuasa di pegang oleh Raja  Melayu  serta mendapat sokongan daripada para pembesar dan rakyat jelata. Ini diikuti oleh kemunculan kerajaan-kerajaan  Melayu  baru di mana penguasa politik dan kerajaan masih berada di tampuk raja-raja dan sultan-sultannya.

Tahun 1874, dasar campur tangan British yang pertama dicatatkan melalui Perjanjian Pangkor dan secara langsung sistem residen terus diperkenalkan. Namun, sistem ini telah mengurangkan kuasa dan kedaulatan Raja-Raja  Melayu sebagai ketua negeri. Pelantikan Residen secara langsung skop kuasa Sultan dalam undang-undang, perihal ekonomi dan politik dikuasai oleh wakil British ini.

Raja-raja  Melayu  tidak berpuas hati terhadap kuasa Residen Jeneral dan kerajaan pusat. Akhirnya, British akur dengan permintaan Raja-Raja  Melayu  lalu menubuhkan Persidangan Durbar atau Persidangan Raja-Raja  Melayu  tahun 1897 di Kuala Kangsar, Perak. Persidangan ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dari Negeri-Negeri Bersekutu dan ia merupakan satu peristiwa sejarah kerana inilah pertemuan Raja-Raja Melayu yang julung kali diadakan untuk bersatu mempertahankan kedaulatan negeri masing-masing.

Di samping itu, perbincangan juga tertumpu pada hal ehwal adat, Agama Islam dan kebajikan orang  Melayu. Durbar merupakan persidangan asas kepada Kewujudan Majlis Persidangan Raja-Raja  Melayu  untuk mengetengahkan beberapa isu seperti kuasa Raja-Raja Melayu  dikembalikan dan penyertaan orang Melayu dalam kerajaan serta pembangunan ekonomi persekutuan.

Jika Tamadun Awal membuktikan kebijaksanaan dan kecekapan Sultan dalam mentadbir urus sosio-politik dan kemajuan ekonomi negeri, zaman kesultanan Melayu Melaka memperlihatkan peranan Sultan membuka kawasan jajahan dan memberi kedaulatan kepada tanah sempadan. Maka di Persidangan Durbar membuktikan peranan Institusi Raja-Raja Melayu dalam mengekalkan kuasa dan memperjuangkan hak orang Melayu sebagai penduduk peribumi Tanah Melayu.

Institusi Raja-Raja  Melayu: Lambang Penyatuan dan Perpaduan melalui Perlembagaan

Sistem pemerintahan monarki dilihat bukan sahaja mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil, malah turut mengukuhkan perpaduan antara kaum. Buktinya, ketika zaman pendudukan British di Tanah  Melayu , pihak Inggeris masih mengekalkan Raja  Melayu  sebagai simbol ‘Ketuanan  Melayu ’ supaya tidak tercetus sebarang konflik di kalangan rakyat di Tanah  Melayu  yang turut terdiri daripada kaum Cina dan India.

Di samping itu, rakyat pada ketika itu menyokong sistem pemerintahan beraja yang dianggap relevan berbanding sistem pemerintahan ala tentera yang diperkenalkan oleh Jepun. Akhirnya, pendudukan Jepun di Tanah  Melayu  hanya bertahan selama 4 tahun (1941-1945) walaupun kaum  Melayu diberi keistimewaan berbanding kaum lain dengan diberi keutamaan untuk mentadbir daerah.

Pelbagai usaha oleh kuasa penjajah untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu. Antaranya, Perlembagaan Malayan Union dengan jelas menyatakan Raja-Raja  Melayu  yang memerintah sembilan buah negeri dalam Tanah  Melayu  akan kehilangan daulat dan kuasa memerintah. Raja-Raja  Melayu  bertindak mentadbir hal ehwal Agama Islam dan adat istiadat orang  Melayu  di negeri masing-masing.

Manakala, Harold Mac Michael bertanggungjawab untuk mendapat tandatangan persetujuan terhadap penubuhan Malayan Union daripada Raja-Raja  Melayu  walaupun pada hakikatnya, Raja-Raja  Melayu  menentang perjanjian ini. Usaha untuk mengubah sistem pemerintahan beraja kepada sistem pemerintah pusat pihak British menemui kegagalan.

Kegagalan Malayan Union membawa pihak British kepada penubuhan Suruhanjaya Reid dan suruhanjaya ini dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah  Melayu  atas dasar pemerintahan Demokrasi berparlimen. Proses merangka Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke jawatankuasa perlembagaan British Westminster System yang melaksanakan sistem monarki.

Berbanding penubuhan Malayan Union, proses merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah  Melayu  turut melibatkan Raja-Raja  Melayu  secara langsung dan hak serta keistimewaan Raja-Raja  Melayu  turut diberi perhatian. Antara kandungan memorandum, Majlis Raja-Raja dikekalkan, manakala Agama Islam diiktiraf sebagai Agama Rasmi, Bahasa  Melayu  sebagai bahasa kebangsaan dan keistimewaan kaum Bumiputera.

Akhirnya, pihak British akur pada kuasa Raja-Raja  Melayu . Buktinya, tanggal 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah  Melayu  telah ditandatangani oleh Raja-Raja  Melayu  dan Pesuruhjaya Tinggi British.

Hasil daripada persetujuan ini, kini, perkara mengenai kuasa Raja-Raja  Melayu  jelas dikanunkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala Agama Islam diiktiraf sebagai Agama Rasmi (Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan), Bahasa  Melayu  sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan) dan keistimewaan kaum  Melayu  dan Bumiputera (Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan). Inilah usaha Raja-Raja  Melayu  terdahulu dalam memartabatkan Agama Islam, Bahasa  Melayu  dan hak keistimewaan kaum  Melayu  dan Bumiputera.


Institusi Raja-Raja  Melayu  dan Locus Standi

Dalam sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada tiga buah badan utama; 1) Badan Perundangan, 2) Badan Pemerintah dan 3) Badan Perundangan, menuntut kuasa institusi Raja-Raja  Melayu, iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai antara komponen utama dalam Badan Perundangan dan Badan Pemerintah dan sistem ini bukanlah sesuatu yang baru diwujudkan dalam sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia.

Ini kerana ketika zaman Kesultanan  Melayu  Melaka, malah ketika zaman pra-kesultanan sekalipun sultan atau raja turut berperanan dalam mengasaskan sebuah sistem pemerintahan yang strategik dan efektif, di samping merangkap penggubal undang-undang.

Sebagai sultan atau raja, baginda berkuasa penuh ke atas semua aspek pemerintahan dalam kerajaan termasuk perjawatan. Pada zaman Kesultanan  Melayu  Melaka, Sultan Iskandar Shah telah menggubal Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut bagi memastikan kelancaran, kestabilan dan keamanan negeri terpelihara.

Sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia pada hari ini mengiktiraf kedudukan sultan dan raja-raja Melayu  bukan sahaja di dalam Badan Perundangan dan Badan Pentadbiran, malah turut dikanunkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perincian jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kuasa Raja-Raja Melayu dan Sultan dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Bahagian 1 perkara 32 hingga 38 menggariskan perimeter Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, manakala, Bahagian 2 tentang peranan Majlis Raja-Raja Melayu di mana perkara 38 menerangkan kedudukan dan juga hak-hak undang-undang Raja-Raja Melayu.

Bahagian 3 peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Badan Eksekutif, manakala Bahagian 4 perkara 60 memperincikan kuasa Yang di-Pertuan Agong  dalam Badan Perundangan serta Bahagian 5 perkara 70 mengenai keutamaan Raja dan baginda dianggap sebagai tiang seri kepada Perlembagaan Persekutuan hari ini dan juga perlembagaan negeri-negeri.

Ini bermakna baginda mempunyai hak undang-undang dan perlembagaan serta had-had terhadap undang-undang dan perlembagaan itu. Dalam istilah undang-undangnya baginda mempunyai “Locus Standi” perundangan. 

Manakala, Badan Perundangan atau Parlimen Malaysia, YDPA memiliki kuasa memanggil, membatal dan membubarkan Parlimen dengan mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Apabila genap lima tahun, Parlimen akan dibubarkan secara sendirinya, melainkan sebelum cukup tempoh ia dibubarkan oleh YDPA.

Sejarah membuktikan kumpulan Raja-Raja Melayu adalah kumpulan yang menggubal dasar dan undang-undang sesebuah negeri dan kini, sistem pemerintahan di Malaysia tetap utuh mengiktiraf peranan Raja-Raja Melayu bukan sahaja dalam sistem perundangan, malah melibatkan baginda dalam urusan tadbir urus negara.

Institusi Raja-Raja  Melayu  dan Kedaulatan Tanah Sempadan

Sejak dari tamadun awal, pembukaan sesuatu kawasan lazimnya diterokai oleh Sultan atau Raja dan kedaulatan sesuatu tanah sempadan turut memerlukan kuasa baginda. Secara langsung, kuasa baginda menghadkan penaklukan kuasa asing terhadap sesuatu kawasan walaupun kawasan tersebut mempunyai hasil bumi yang mewah.

Ironinya, kedaulatan sesuatu kawasan yang merupakan tanah jajahan diperolehi daripada kuasa raja. Tanah penempatan  di mana raja mendirikan kerajaannya, lokasi yang strategik dengan mengambil kira kesuburan kawasan, mempunyai nilai ekonomi, membina protokol dan pantang larang serta memiliki unsur tuah.

Kejayaan Sultan Mansor Shah mengadakan hubungan luar (Public Diplomacy) menjadikan Melaka sebagai kuasa politik dan ekonomi yang tersohor dan disegani oleh kuasa luar. Selain menerokai kawasan tanah jajahan, sultan turut bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat jelata. Justeru itu, sejarah turut membuktikan selain membuka kawasan, sultan turut bertindak menyediakan angkatan perang dan menyusun strategi peperangan demi mempertahankan tanah air daripada diserang oleh kuasa luar.

Kejayaan Sultan Mahmud Shah menangkis serangan pertama Portugis menyebabkan angkatan Portugis mengundur diri apabila pasukan hulubalang Melaka yang diketuai oleh Sultan Ahmad Shah yang strategis mengatur serangan ke atas lawan. Di samping itu, kejayaan Sultan Alauddin Riayat Shah mengukuhkan empayar Johor-Riau dan dalam masa yang singkat beliau mampu menyusun angkatan perang bagi menangkis serangan Portugis dan Acheh.

Aspek ini membantu membina karisma seorang raja. Barulah daulatnya (sovereignity) berdiri. Maka bersahutlah rakyat, ‘Daulat Tuanku’! (Hail your sovereign). Berdaulat raja (yang memerintah) bermakna berdaulatlah kerajaan dan seluruh negerinya. Berdaulatlah kerajaan (kesultanan) Melaka apabila wujud raja-rajanya (yang diiktiraf rakyat).

Daulat Tuanku…Daulat Tuanku…Daulat Tuanku…


No comments :

Post a Comment