Thursday, May 9, 2013

PROGRAM KUIM DIIKTIRAF OLEH TOKOH AKADEMIK LUAR NEGARA



Oleh
Mohd Sufiean Hassan
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

PROGRAM KUIM DIIKTIRAF OLEH TOKOH AKADEMIK LUAR NEGARA

Kuala Sungai Baru: Kejayaan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan berketerampilan telah menarik minat beberapa pakar akademik dari universiti  luar negara bagi menjalin kerjasama  dalam pembangunan bidang pendidikan. 

Dr. Isa Hassan
Baru–baru ini KUIM telah mengadakan Istiadat konvokesyen ke 16 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka yang turut dihadiri oleh beberapa pakar akademik dari luar negara, antaranya Pengarah Eksekutif Jamiyah Education Centre, Singapura, Dr. Isa Hassan, Rektor Politeknik Unggul, Medan, Indonesia,  HM Nasir Mahmud dan Pengarah Akademik COMTECH International, Sri Lanka,  Risdy Sheriff. 

Melalui temubual bersama tokoh akademik luar negara itu pelbagai maklumbalas positif diberikan  kepada KUIM dari segi struktur program pengajian mengikut kehendak pasaran, pembangunan infrastruktur dan prasarana yang lengkap bagi memastikan KUIM menawarkan suasana pengajian kondusif dan jaminan kualiti sentiasa dititikberatkan oleh pengurusan KUIM membolehkan IPT milik penuh kerajaan negeri Melaka ini menawarkan program pengajian di peringkat global.

Menurut Dr Isa Hassan, kualiti program pengajian KUIM diukur apabila Program Diploma Syariah Islamiyyah KUIM yang ditawarkan di  Jamiyah Education Centre, Singapura mendapat sambutan ketika pertama kali diperkenalkan di sini.

Selain program pengajian yang berkualiti setelah mendapat pengiktirafan oleh MQA, kandungan silibus pengajian KUIM turut menekankan elemen utama sebagai graduan acuan pasaran Singapura iaitu berpengetahuan luas, kreatif, mampu berkomunikasi secara berkesan dan proaktif dalam melaksanakan suatu tugasan.

HM Nasir Mahmod
Menurutnya lagi, kurikulum fleksibel yang terdapat di KUIM adalah menjadi tarikan utama bagi menyambung  pengajiannya di Jamiyah Education Centre, Singapura. Menawarkan program pengajian bukan sahaja kepada pelajar sepenuh masa, malah struktur pengajian yang fleksibel untuk pelajar separuh masa turut menjadi faktor program usahasama Jamiyah Education Centre, Singapura dengan KUIM berjaya menarik minat pelajar dan warga Singapura yang sedang bekerja, di samping mampu meneruskan pengajian.

“Keyakinan bahawa komitmen tinggi pihak KUIM dalam bidang pengajian tinggi, mampu meletakkan kualiti pengajian tinggi negara setanding dengan negara maju di peringkat global. Secara langsung, KUIM turut mampu muncul sebagai sebuah jenama yang unggul di dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berketerampilan untuk pasaran nasional dan global.

Sementara itu, Rektor Politeknik Unggul, Medan, Indonesia, HM Nasir Mahmud yang kini sedang merancang untuk mewujudkan program usahasama dengan KUIM. Beliau merancang bagi membawa program Diploma Kejururawatan, KUIM untuk ditawarkan di medan.

Prof. Dr Zamzani A.Karim
Menurutnya, memandangkan kerjasama erat yang telah terjalin di antara Kerajaan Negeri Melaka dengan Medan, Indonesia, harus di ambil kesempatan bagi mengukuhkan lagi ikatan di dalam bidang pendidikan dengan memfrancaiskan program Diploma Kejururawatan KUIM ke Medan, Indonesia. 

Ujarnya lagi, KUIM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang berjaya menggabung jalinkan ilmu duniawi dan ukhrawi selain bidang psikologi menjadi keutamaan dan diterapkan di dalam semua bidang pengajian yang ditawarkan. 

“Memandangkan di Indonesia  majoriti penduduk nya adalah beragama Islam dan amat memerlukan jururawat yang bukan sahaja pakar di dalam merawat pesakit tetapi juga membantu dari segi ilmu kerohanian, maka amat sesuailah silibus pengajian di KUIM dijadikan panduan.” jelas beliau.  

Selain itu, beliau turut berasa yakin dengan kemampuan KUIM di dalam memartabatkan bidang pendidikan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh Nusantara, ini amat bertepatan slogan yang digunakan oleh KUIM “gerbang pengajian psikologi insan”, semoga KUIM terus maju dan gemilang bersama – sama dengan program pengajiannya yang berteraskan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Terdahulu, Politeknik Unggul telah melakukan lawatan ke KUIM bagi tujuan membuka laluan kerjasama akademik, seramai 80 orang pelajar serta pegawai telah meninjau sendiri proses pembelajaran yang di lakukan di KUIM dan kami berasa teruja dengan kurikulum yang terdapat di KUIM. 

Bagi Risdy Sheriff, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada KUIM kerana graduan lahiran KUIM dari Sri Lanka telah diterima belajar di East London University, malah menurut beliau, graduan berkenaan bukan sahaja diterima belajar di universiti tersebut,  bahkan  dapat melakukan pemindahan kredit dan seterusnya masuk ke tahun 3 (akhir), ini menunjukkan program pengajian di KUIM turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Risdy Sheriff
Menurutnya, pengiktirafan program pengajian KUIM yang telah diberikan oleh kementerian pengajian tinggi dan juga Lembaga Akreditasi Negara (MQA) bukan sahaja diterima di Malaysia malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Ini membolehkan pelajar dari Sri Lanka mendapat pekerjaan di serata tempat seperti di Dubai, Arab Saudi, Singapura dan di beberapa negara maju yang lain. 

Tambah beliau, sehingga kini KUIM telah melahirkan lebih 50 orang graduan dari Sri Lanka dan beberapa pelajar lagi dari Sri Lanka akan tiba ke Malaysia untuk mendaftar masuk bagi sesi kemasukan tahun 2012. Pendaftaran kemasukan pelajar bagi sesi kemasukan 2012 berlangsung pada Disember nanti.

Bagi Rektor Sekolah Tinggi Ilmu Sosial dan Politik (STISIPOL) Riau, Indonesia,  Prof. Dr Zamzani A.Karim beliau berasa amat teruja dengan kemajuan yang telah dicapai oleh KUIM di dalam usaha mengantarabangsakan program – program pengajian yang terdapat di KUIM.

Menurut Prof Dr. Zamzani, hasil daripada perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani sejak beberapa tahun yang lalu, pelbagai peluang telah dapat diwujudkan dan memberi manfaat di antara satu sama lain, di antara program yang telah dapat dilaksanakan adalah program pertukaran pelajar , penganjuran seminar di peringkat antarabangsa dan juga beberapa program yang sedang dirancang dan semua program yang akan dijalankan adalah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, beliau juga berkata bahawa KUIM sentiasa komited di dalam melahirkan graduan yang berketerampilan dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi di peringkat antarabangsa. Selain dari itu warga kerja KUIM juga sentiasa mempunyai wawasan yang luas dan tinggi di dalam menjadikan sebuah IPT yang tersohor di bumi Malaysia khasnya dan juga di seluruh dunia amnya.




No comments :

Post a Comment