Thursday, May 9, 2013

NAIB CANSELOR KUIM MENGANALISIS PENGERTIAN SEJARAH MELAKA KE ATAS NEGARA MALAYSIA MASA KINI



Oleh:
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam, KUIM

WACANA KEBANGSAAN BUKU EMPAYAR MELAKA: TRADISI AGUNG MELAYU ANJURAN PERZIM
NAIB CANSELOR KUIM MENGANALISIS PENGERTIAN SEJARAH MELAKA KE ATAS NEGARA MALAYSIA MASA KINI

Keunggulan empayar Melaka sering menjadi tema persidangan ahli sejarawan negara dan antarabangsa. Keunikan empayar Melaka mencipta sejarah dan mengubah peta dunia turut menarik minat sejarawan, ahli akademik dan para pencinta sejarah untuk menjadikan tema keunggulan empayar Melaka sebagai skop kajian ilmiah mereka.

Kajian tentang keunggulan empayar Melaka membawa kepada pelbagai sudut pandang dilihat oleh para pengkaji dan antara lainnya, kesinambungan keunggulan empayar Melaka ke atas negara Malaysia pada masa kini.

Secara umumnya, masyarakat Malaysia sedar akan kewujudan empayar Melaka, namun hanya segelintir yang mengerti bahawa keutuhan pemerintahan kerajaan pada masa kini merupakan kesinambungan praktis pemerintahan kerajaan ketika era empayar Melaka masa lalu.

Justeru itu, rencana ini akan mengupas dapatan kajian dan analisis Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim tentang pengertian sejarah Melaka dan  kesinambungan praktis pemerintahan kerajaan Malaysia pada masa kini yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff memberi penekanan tentang pengertian sejarah Kesultanan Melayu Melaka dari perspektif warisan, tradisi dan realiti masyarakat masa lalui. Di samping itu, sejarawan ini, turut merungkai impak sejarah Melaka kepada sosiopolitik dan keteguhan kepimpinan kerajaan masa kini dengan mengaitkan sistem kenegaraan, politik kuasa, kerasmian agama Islam dan bahasa Melayu yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan juga dipengaruhi oleh keunggulan sejarah Melaka melalui peristiwa kewujudan empayar Melaka.

Berikut adalah analisis Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, di mana pengaruh pemerintahan zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kesinambungannya pada pemerintahan kerajaan Malaysia masa kini.

Sejarah Melaka dan Kesucian Agama Islam

Dewasa ini, pertikaian tentang kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara kerap di cetuskan oleh kumpulan minoriti yang berusaha untuk mengubah perkara yang utuh termaktub di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

Provokasi kumpulan minoriti mencetuskan kekacauan di dalam masyarakat dengan mempersoalkan perkara dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan usaha untuk membawa negara Malaysia ke arah kemusnahan dan kehancuran. Mereka percaya bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah senjata paling efektif untuk meruntuhkan sebuah kerajaan, memecahbelahkan masyarakat majmuk dan sekali gus merubah sistem pemerintahan kerajaan yang berdaulat. Ironinya, walaupun hidup dalam kepelbagaian, masyarakat Malaysia tidak mudah dipecahkan kerana pegangan teguh dan keakuran kepada Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, agama Islam merupakan agama yang pertama bertapak di Melaka dan agama suci yang dianuti oleh Sultan Iskandar Shah, raja pertama kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, agama Islam juga merupakan agama yang mempunyai penganut  majoriti di antara pembesar-pembesar Melaka dan masyarakat Melayu Melaka di masa lalu.

Memetik sumber daripada karya Tun Sri Lanang yang meriwayatkan kesultanan Melayu Melaka, agama Islam telah dibawa oleh Sayid Abdul Aziz iaitu saudagar dari semenanjung Tanah Arab dan datang ke Melaka dengan tujuan untuk berdagang. Beliau dipanggil oleh Sultan Iskandar Shah untuk mengadap dan kesempatan ini beliau gunakan untuk berdakwah kepada sultan dan para pembesar.

Ketulusan dan kesucian agama Islam berjaya membuka hati baginda untuk memeluk agama Islam. Tindakan ini secara langsung dituruti oleh para pembesar dan masyarakat Melayu Melaka. Bermulanya di sini, agama Islam menjadi pegangan setiap era kesultanan Melayu Melaka dan diperluaskan kepada satu daerah ke daerah yang lain.

Kini, termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (1), bahawa agama Islam merupakan agama rasmi negara Malaysia dan keakuran terhadap perkara ini diterima oleh seluruh masyarakat majmuk di Malaysia. Seterusnya, analisis tentang kedaulatan institusi diraja dan kesinambungannya daripada sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Sejarah Melaka dan Kedaulatan Raja Melayu

Usaha kumpulan berkepentingan untuk menjatuh dan menidakkan kedaulatan raja-raja Melayu wajib dicantas sebelum barah menjadi parah. Sebagai rakyat perlu meletakkan taat setia dan patuh kepada ketua negara dan ketua agama ini agar kedaulatan institusi diraja terus dipelihara dan dipertahankan. Apakah rasionalnya?

Penubuhan sesebuah negara terdiri daripada tiga elemen; kerajaan, tanah atau kawasan dan kedaulatan. Istilah kerajaan itu sendiri wujud dari perkataan ‘raja,’ maka wujudnya raja, wujudlah kerajaan.  

Sejarah Melaka; peristiwa Sultan Iskandar Shah menamakan sebuah kawasan sebagai Melaka, telah membuktikan pembukaan dan kemajuan sebuah kawasan adalah usaha raja. Sebelum sesebuah kawasan dibuka, kepintaran raja yang akan menentukan kemajuan sesuatu kawasan kerana tanah penempatan  di mana raja mendirikan kerajaannya perlu lokasi yang strategik dengan mengambil kira kesuburan kawasan, mempunyai nilai ekonomi, membina protokol dan pantang larang serta memiliki unsur tuah.

Aspek ini membantu membina karisma seorang raja. Barulah kedaulatan (sovereignity) berdiri. Maka bersahutlah rakyat, “Daulat Tuanku”. Berdaulat raja (yang memerintah) bermakna berdaulatlah kerajaan dan seluruh negerinya. Berdaulatlah kerajaan apabila wujud raja-rajanya yang diberi taat setia oleh rakyat.

Justeru itu, ketika Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja Melayu adalah di antara tiga tunggak utama dalam rundingan tersebut. Sekaligus, raja-raja Melayu berperanan sebagai pemerintah dan memegang tampuk kuasa pemerintahan. Di samping itu, petanda ini jelas membuktikan bahawa sultan mempunyai hak dalam penetapan undang-undang. Dalam istilah undang-undangnya baginda sultan mempunyai “Locus Standi” perundangan.

Sejarah Melaka dan Martabat Bahasa Melayu

Bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan sejak era kesultanan Melayu Melaka lagi, malah, sebelum era kesultanan Melayu Melaka dan dalam konteks sejarah alam Melayu, bahasa Melayu turut dipertuturkan oleh masyarakat Melayu Melaka.

Di samping itu, kewujudan pelabuhan selat Melaka bukan sahaja memberi laluan kepada para pedagang, malah sumber sahih menyatakan sejarah bahasa Melayu adalah bermula daripada negeri Melaka.

Berabad-abad sebelum Masihi, Selat Melaka telah digunakan oleh pedagang Arab sebagai laluan pelayarannya membawa barang perniagaan .  Pada abad pertama, pedagang  dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan dirintis lebih awal oleh pedagang Arab.

Di samping itu, juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama dan kepercayaan mereka kepada masyarakat tempatan. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.

Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff berpendapat, selain jumlah penuturnya yang ramai, keindahan bahasa Melayu dalam penghasilan karya sastera, bait-bait pantun seloka, sajak dan puisi menjadikan bahasa Melayu indah untuk dituturkan. Tambahan pula, bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan serantau.

Realiti ini mewajarkan kepada pembentukan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara. Ini juga ada kaitannya dengan pembentukan artikel 160 (2), Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu dan Agama Islam menjadi sebahagian pengertian istilah Melayu di Malaysia.


Sejarah Melaka dan Keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera

Pertikaian Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan hak dan keistimewaan orang melayu dan kaum bumiputera tidak wajar dipandang enteng. Niat untuk mewujudkan kesamarataan di antara kaum di Malaysia adalah propaganda pihak berkepentingan untuk menghalalkan cara.

Apa yang jelas, pihak berkepentingan ini bukan berniat untuk mewujudkan kesamarataan tetapi gigih merancang untuk mewujudkan persengketaan di sebalik perjuangan kesamarataan. Ketuanan Melayu tidak wajar dipertikaikan dan seorang pemikir Greek berkata, “ untuk memahami peristiwa masa kini, kita perlu mengenali dan memahami kejadian lampau.”

Sejarah penubuhan Malaysia menyaksikan tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah negara.

Di antara penduduk terawal yang masih ada di Malaysia hingga ke hari ini ialah Orang Asli, iaitu kumpulan bumiputera  di Semenanjung Malaysia serta kaum Penan di Sarawak dan kaum Rungus di Sabah. Kehadiran mereka di negara ini berkemungkinan menjangkau lebih 5,000 tahun.

Penduduk terawal ini juga merupakan golongan perintis kepada gerakan penghijrahan manusia ke arah selatan daripada China dan Tibet melalui tanah besar Asia Tenggara serta Semenanjung Tanah Melayu, seterusnya ke Kepulauan Indonesia. Penduduk pertama bangsa Melayu atau Melayu Proto dianggarkan telah bertapak di negara ini pada tahun 1000. Gerakan penghijrahan ini telah diikuti oleh beberapa lagi golongan seperti Melayu Deutero sepanjang beberapa abad seterusnya.

Orang-orang Melayu juga telah bertebaran di segenap pelusuk kepulauan ini, seterusnya menetap dalam kelompok komuniti kecil yang serba lengkap. Ini telah menghasilkan kepelbagaian corak etnik yang kompleks yang dapat dilihat di Malaysia.

Orang-orang Melayu di Semenanjung mempunyai pertalian hubungan yang rapat dengan orang-orang Melayu di Sumatera, dan untuk berabad lamanya Selat Melaka berperanan sebagai laluan perhubungan, selain bertindak sebagai laluan perdagangan. Justeru itu, orang Melayu dan Orang Asli merupakan peribumi negara Malaysia hari ini dan diiktiraf sebagai Bumiputera. 

Realiti ini juga mewajarkan kepada penetapan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu yang secara telusnya membuktikan kaum Melayu dan bumiputera merupakan bangsa asal atau penduduk peribumi di Malaysia. Selain sebagai penduduk terawal, kaum Melayu merupakan kumpulan perintis kepada gerakan penghijrahan manusia ke arah selatan daripada China dan Tibet melalui tanah besar Asia Tenggara serta Semenanjung Tanah Melayu.

Kesimpulan

Jelas membuktikan setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan kesinambungan keunggulan sejarah Melaka. Kesucian agama Islam, kedaulatan raja-raja Melayu, martabat Bahasa Melayu dan hak keistimewaan kaum Melayu dan bumiputera tidak wajar dipertikaikan kerana perkara ini telah dipraktikkan sejak masa dahulu. Kerajaan hari ini telah mewarisi sistem pemerintahan kesultanan Melayu Melaka dan sistem ini masih relevan untuk dipraktikkan demi kedaulatan dan kemakmuran negara.

Pertikaian dan perbalahan mengenai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas menunjukkan propaganda kumpulan minoriti atau pihak berkepentingan untuk mewujudkan kekacauan dan huru hara. Secara langsung pertikaian ini diharap mampu menghalalkan cara untuk mereka meruntuh dan merampas kerajaan sedia ada demi meragut kuasa memerintah negara. Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia yang rasional, tidak sekali-kali mudah diperdaya kerana kita punya jati diri yang utuh dan tidak mudah di runtuh oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk menghancurkan kemakmuran dan kedaulatan negara. Kita punya sejarah; daripada sejarah terbentuk bangsa, kerajaan dan negara.






 


No comments :

Post a Comment