Thursday, May 9, 2013

Seminar Kebangsaan Perlembagaan Malaysia NAIB CANSELOR KUIM DIBERI PENGHARGAAN SEBAGAI PEMBAHAS UTAMA

Oleh: 
Mohd Sufiean Bin Hassan
Pegawai Perhubungan Awam, Kolej Universiti Islam Melaka

Seminar Kebangsaan Perlembagaan Malaysia
NAIB CANSELOR KUIM DIBERI PENGHARGAAN SEBAGAI PEMBAHAS UTAMA 

Kuala Lumpur, 05 Julai: Arkib Negara Malaysia telah mengundang Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim sebagai pembahas utama di Seminar Kebangsaan Perlembagaan Malaysia yang bertemakan ‘Di antara Sejarah dan Tuntutan Semasa’ bertempat di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman baru-baru ini.

Seminar yang bertemakan ‘Di antara Sejarah dan Tuntutan Semasa’ itu turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB. Dato’ Joseph Talang, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Hjh. Daresah Hj. Ismail dan Prof.  Emeritus Datuk Dr. Hj. Shad Saleem Faruqi (UiTM). 

Seminar tersebut turut membariskan ahli panel terkemuka seluruh tanahair seperti Prof. Madya Dr. Joseph Milton Fernando dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz, UIA, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, USM dan Dr. Azharudin Mohamed Dali, UM. 

Dalam Perbahasan mengenai Perlembagaan Dari Perspektif Sejarah, Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim, memberi penekanan pengertian sejarah Perlembagaan Malaysia merupakan sejarah warisan, tradisi dan realiti masyarakat  selain impaknya kepada sosiopolitik dan kemajuan Malaysia pada hari ini. 

Beliau turut berpendapat sistem kenegaraan, perlembagaan politik kuasa, agama dan bahasa dipengaruhi oleh peristiwa sejarah sesebuah Negara atau kesinambungan dari sejarah silam. 

Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, aura yang dimiliki oleh institusi raja-raja Melayu pada hari ini, kebanyakannya diwarisi dari Era Kesultanan Melayu Melaka dan bukannya wujud dengan sendirinya. Beliau turut menyifatkan perlembagaan yang terbentuk hari ini sebagai Politik Tradisi dan Kesinambungan atau ‘the Politics of Traditions and Continuity’ dan pemerintahan berteraskan demokrasi berparlimen.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff Perlembagaan Malaysia tidak bermula dengan sendirinya tetapi mempunyai latar belakang sejarah, kemasyarakatan, kebudayaan, warisan dan juga bangsa yang wujud di Malaysia semenjak zaman awal lagi. 

Beliau mengambil kata-kata pengamal undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang mengatakan sejarah dan tradisi menjadi sebahagian daripada asas dan tunggak pembinaan perlembagaan negara.

Tambah Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff, kenyataan ini memang tepat dengan sejarah munculnya perlembagaan persekutuan 1957 dan sekiranya dikaji sejarah tamadun bangsa Melayu semenjak abad ke 7 lagi.

Kerajaan-kerajaan Melayu awal telah muncul sebelum kerajaan Melaka abad ke 15 yang menjadi nenek moyang kepada kesultanan Melayu Melaka antaranya kerajaan Tua Temasik dan kerajaan Melayu Tua Palembang Jambi era Sriwijaya. 

Empayar Sriwijaya ini muncul dalam sejarah bangsa Melayu di antara abad ke 7 hingga ke abad 13, dan terdapat bukti-bukti sejarah seperti batu-batu bersurat ataupun prasasti-prasasti seperti Prasasti Talam Tuwo, Prasasti  Kedukan Bukit, Prasasti Boom Baru, dan Prasasti Telaga Batu. Kebanyakan prasasti ataupun batu bersurat ini menyebutkan tentang hubungan raja yang memerintah dengan rakyat di mana timbul istilah seperti derhaka, ditimpa tulah, ditimpa kutukan dewata dan juga istilah kuasa-kuasa raja.

Ini yang menunjukkan bahawa era Sriwijaya mereka mempunyai undang-undang tersendiri dan kemudian menjadi panduan kepada hala cara bernegara atau sistem kenegaraan. 

Tambah beliau lagi laporan sumber china, Sanpochi dan Sellepochi turut menyatakan di Era Sriwijaya telah ada sistem berkerajaan dengan bukti batu bersurat yang menggunakan bahasa Palava dan bahasa Sanskrit.

The Politics of Traditions and
Continuity
- Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hj. Hashim


Laporan-laporan jawa seperti Kitab Negarakertagama, Kitab Babad Tanah Jawi dan Kitab Pararaton turut menjelaskan hubungan di antara kuasa jawa dengan kuasa-kuasa Melayu di bahagian utara pulau jawa terutama sekali kerajaan empayar Sriwijaya di mana ada sistem negaranya dan juga ada undang-undang tertinggi yang digunakan oleh kerajaan Melayu ini. 

Kemudian Sriwijaya ini digantikan oleh Temasik iaitu Singapura tua di mana menurut Prof. Emeritus Dr Mohd Yusoff mereka mewarisi undang-undang dan juga perlembagaan kerajaan Sriwijaya berdasarkan kepada tokoh-tokoh pemerintah Temasik seramai 5 orang yang merupakan waris langsung kepada raja-raja Sriwijaya. 

“Parameswara telah membuka Melaka setelah Temasik dikalahkan oleh kuasa siam ataupun kuasa majapahit. Di Melaka pada masa itu telah ada undang-undang tertinggi yang dipanggil sebagai Hukum Kanun Melaka ataupun Undang-Undang Melaka (The Canon Laws Of Malacca).

“Undang-undang yang mengandungi 44 perkara itu menggunakan bahasa Melayu klasik yang menyatakan mengenai kedudukan, hak-hak undang-undang dan juga pemerintahan serta hala cara bernegara atau ‘state craft’ kerajaan Melaka. Perkara 1, 2 dan 3 dengan jelas menyatakan mengenai kedudukan raja apabila menjadi sultan akan menduduki hierarki tertinggi serta memegang tampuk kuasa politik pentadbiran.” Jelas beliau lagi.

Kerajaan Johor tua yang muncul setelah keruntuhan empayar Melaka pada tahun 1511. Kerajaan ini turut mempunyai undang-undang tubuh yang diwarisi daripada empayar Melaka dan undang-undang ini merupakan undang-undang tertinggi kerajaan Johor. 

KEDAULATAN LOCUS STANDI PERLEMBAGAAN

Menjelang tahun 1722 berlaku perpecahan empayar Johor, yang membawa kepada tertubuhnya negeri-negeri Melayu baru dan kesultanan Melayu baru seperti Johor baharu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan. Negeri-negeri Melayu ini turut mempunyai undang-undang tersendiri sebagai undang-undang Pahang, undang-undang Selangor, undang-undang Negeri Sembilan yang disebut juga sebagai Undang-Undang Tubuh negeri yang berkenaan.

Ini diikuti dengan kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu baru sepanjang abad ke-18 dan 19 di mana penguasa politik dan kerajaan masih berada di tampuk raja-raja dan sultan-sultan terdahulu. Sehinggalah campur tangan pihak British (1874), dan sistem residen diperkenalkan. 

Tahun 1895 dan 1896 termaktubnya perjanjian negeri-negeri Melayu bersekutu. Raja-raja 4 buah negeri bertemu dalam satu persidangan yang dipanggil sebagai Durbar yang diwakili oleh raja perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang menurunkan tandatangan menandakan tertubuhnya negeri-negeri bersekutu itu.

Menurut Prof Emeritus Dr. Mohd Yusoff, kuasa sultan sebagai pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri diteruskan sehingga ke Era Malayan Union. Usaha Harold Michael meminta persetujuan raja-raja untuk mengubah sistem pemerintahan kerajaan kepada Malayan Union pada April 1946, namun rancangan ini gagal. Raja-raja Melayu terus memainkan peranan sebagai pemerintah yang sah dan memegang tampuk kuasa.

Pilihan raya umum yang pertama Tanah Melayu telah diadakan pada julai 1955 di mana parti perikatan telah menang sebanyak 51 kerusi pada 52 buah kerusi dipertandingkan, ini menunjukkan bahawa rakyat mengambil bahagian dalam proses pembentukan kemerdekaan itu.

“Apabila cadangan untuk melantik Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab merangka perlembagaan Tanah Melayu, 3 pihak terlibat dalam perbincangan ini iaitu wakil-wakil raja-raja Melayu bagi pihak pemerintah, parti-parti politik iaitu Parti Perikatan UMNO, MCA dan MIC yang mewakili rakyat dan pegawai-pegawai British. 

“Penglibatan pemerintah ini menunjukkan bahawa raja-raja Melayu terus diiktiraf sebagai kelompok pemerintah yang mempunyai Locus Standi sebagai pemerintah. Mempunyai hak undang-undang dan perlembagaan serta had terhadap hak-hak tersebut.” Jelas Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusoff.

Pada tahun 1963 Malaysia tertubuh bersama-sama Sabah dan Sarawak dan institusi raja-raja Melayu ini telah menjadi teras kepada pembentukan perlembagaan persekutuan. Perkara ini dibuktikan dengan perkara-perkara 32 hingga 43.

SEJARAH, PERLEMBAGAAN DAN PERKEMBANGAN

Kemuncak institusi raja-raja Melayu ini ialah tertubuhnya majlis raja-raja di bawah perkara 38 yang mana mempunyai kuasa perlembagaan menentukan kedudukan raja-raja Melayu bukan sahaja sebagai pemerintah negeri-negeri masing-masing malah sebagai pemerintah utama dan Ketua Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Hak sultan-sultan juga termaktub dalam perkara 70 tentang hak-hak negeri masing-masing di mana sultan-sultan menduduki hierarki teratas dalam hala cara pemerintahan negeri masing-masing serta mempunyai ‘Locus Standi’ atau kuasa undang-undang untuk dilaksanakan di negeri masing-masing.
Seterusnya, beliau memperkatakan mengenai agama Islam yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan; sebagai agama persekutuan dan raja-raja Melayu adalah Ketua Agama di peringkat negeri manakala, YDPA sebagai ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Agama Islam juga dianuti sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi dan mempunyai penganut yang paling ramai di kalangan orang Melayu  serta diwarisi oleh negeri-negeri  yang lain hingga ke hari ini.

Begitu juga pada bahagian 12 artikel 152, berhubung dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa ini telah dipertuturkan sejak Era Kesultanan Melayu Melaka lagi malah sebelum era kesultanan tersebut dan dalam konteks seluruh alam Melayu, bahasa ini telah dipertuturkan oleh penduduknya dari era Palembang, bahasa Melayu pra klasik, bahasa Melayu klasik, hinggalah bahasa Melayu moden yang digunakan pada hari ini. 

Realiti ini mewajarkan kepada pembentukan perkara 152: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dan ini juga ada kaitannya dengan pembentukan artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan di mana Bahasa Melayu dan Agama Islam menjadi sebahagian komponen pengertian istilah Melayu di Malaysia.

Begitu juga dengan perkara 153 berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Dirujuk kepada hakikat sejarah dan tradisi di mana orang Melayu merupakan pemegang kuasa dan induk kepada pemerintahan dan kerajaan yang mencetuskan kepada istilah Ketuanan Melayu dan menjadi tanggungjawab YDPA untuk memastikan perkara 153 ini dilaksanakan. 

Jadi dilihat secara keseluruhan terbentuknya sebuah perlembagaan adalah merujuk kepada sejarah dan tradisi bangsa yang diwarisi beratus-ratus tahun sehingga taraf raja-raja Melayu juga bertukar daripada identitinya sebagai raja mutlak menjadi raja berperlembagaan yang dikawal oleh perlembagaan dan juga hak-hak yang dihadkan oleh perlembagaan. 

Kedaulatan raja-raja Melayu Yang Dipertuan Agong diatasi oleh perkara 182 dan 183 di mana baginda-baginda ini boleh secara peribadi boleh didakwa oleh sebuah mahkamah khas atau ‘special court’ yang anggotanya terdiri daripada wakil-wakil kerajaan dan wakil raja-raja Melayu.

No comments :

Post a Comment